"…..Saudara-saudara sekalian, saya sudah terpilih untuk memimpin kamu semua, dan saya bukanlah orang yang terbaik diantara kamu sekalian. Kalau saya berlaku baik bantulah saya, kalau anda sekalian melihat saya salah, maka luruskanlah. Kebenaran adalah suatu amanah, dan dusta adalah pengkhianatan. Ikutlah saya selama saya taat kepada perintah Allah dan RasulNya. Tetapi apabila saya melanggar (perintah) Allah dan RasulNya maka tidak wajib anda sekalian mentaati saya. Marilah kita solat, semoga Allah memberi Rahmat kepada anda sekalian." Kata-kata saidina Abu Bakar As-Siddiq...
Segala puji bagi Allah Taa'la tuhan sekalian alam, setinggi kesyukuran atas rahmat serta nikmat kurniaan-Nya, selaut keampunan dipinta atas segala dosa dan noda hamba kerdil ini yang sering lalai dan alpa atas nikmat yang diberi. Selawat dan salam buat junjungan besar, kekasih hati, insan yang terpilih Nabi Muhammad Sallallahu A'laihi Wassalam penghulu sekalian nabi, ahli keluarga dan para sahabat baginda serta seluruh pejuang Islam yang sentiasa teguh menegakkan kalimatullah yang agung.
Setiap raja pasti akan ada pemangkunya, setiap pemimpin pasti akan ada penggantinya, begitu juga setiap pimpinan dan pemerintahan pasti akan ada silih gantinya. Begitu juga yang turut terakam dalam sejarah kepimpinan Islam pertama yang diketuai oleh Nabi Muhammad SAW, selepas kewafatan baginda zaman kegemilangan Islam diteruskan pula oleh kepimpinan para Khulafa Ar-Rasydin. Itulah lumrah dalam kehidupan, pertukaran kondinasi kepimpinan ini terus menerus diwarisi oleh kepimpinan Islam dari zaman ke zaman. Namun matlamat serta misi yang diperjuangkan oleh setiap kepimpinan adalah kesinambungan dari perjuangan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW iaitu menegakkan serta menyebarkan agama Islam di muka bumi .
Kepimpinan DPMZ sesi 08/09 telah melabuhkan tirainya pada 4 ogos yang lalu, kini kepimpinan yang baru tampil mengambil tempat menerajui barisan hadapan saf kepimpinan DPMZ bagi sesi 09/10. Sudah pasti barisan kepimpinan yang baharu ini akan menjadi penyambung mata rantai perjuangan oleh generasi perintis terdahulu. "Perjuangan Ibarat Mata Rantai Kita Bukanlah Orang Yang Pertama Dan Kita Bukanlah Orang Yang Terakhir"
Memetik kata-kata yang diucapkan oleh Saidina Abu bakar ketika awal perlantikan beliau sebagai khalifah Islam, saya bersama sahabat AJKT DPMZ sesi 09/10 dengan rasa rendah diri turut menyelami hal yang sama. Kami bukanlah yang terbaik diantara kalian, ikutlah kami selagi mana kami mentaati serta menuruti setiap landasan perintah Allah Subhanahu Wa Taa'la sekiranya kami melakukan sesuatu perkara yang melanggari perintah-Nya maka tegurlah serta perbetulkanlah kami.
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya” an-Nisa’ 59
PERKASA TARBIAH, PERTINGKAT THAQAFAH
Tarbiah merupakan aspek terpenting dalam agama Islam, jikalau diperhatikan dalam sejarah penyebaran Islam, perkara pertama yang telah dilakukan oleh baginda Rasulullah ialah menerapkan proses tarbiah dalam diri setiap sahabat baginda. Tarbiah terbaik daripada Rasulullah ini ternyata telah mampu membentuk dan melahirkan para mujahid dan syuhada' yang sanggup berkorban demi memperjuang dan mempertahankan Islam walau terpaksa menggadaikan harta juga nyawa mereka.
Saban hari bumi berkat ini menerima kedatangan ramai pelajar Malaysia yang ingin meyambung pengajian mereka. Pertambahan bilangan pelajar al-Azhar mahupun perubatan merupakan satu rahmat serta menunjukkan akan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mendalami ilmu agama. Namun begitu mutakhir ini, secara realitinya banyak perkara yang merunsingkan mulai kedengaran. Antaranya ialah budaya couple, berdating ikhwah dan akhowat, penutupan aurat yang tidak mengikut syaria't dan pelbagai permasalahan lain.
Sehubungan dengan itu pihak DPMZ pada tahun ini akan berusaha penuh dalam menerapkan nilai tarbiah dalam diri setiap ahli DPMZ. Pelbagai kritikan serta cadangan yang bernas telah diterima dalam mesyurat agung yang lalu. Penekanan konsep tarbiah ini akan cuba diterjemahkan sebaiknya dalam pelbagai bentuk program. Antaranya memperkasakan hisbah dan rakan muslim, mempergiatkan perjalanan usrah dan kempen solat berjemaah, mempertingkatkan biah solehah, acara sukan mahabbah dan sebagainya. Segala pelaksanaan program yang akan dilaksanakan tidak akan berjaya tanpa sokongan serta dokongan daripada seluruh ahli DPMZ.
Dari Abu Sa'ad Al-Khudri Radiallahuanhu berkata; saya mendengar Rasulullah SAW bersabda " Barang siapa diantara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia merubah ( mengingkari) dengan tangannya, jika tidak mampu hendaklah ia merubah dengan lisannya, jika tidak mampu hendaklah ia merubah dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman" HR Muslim.
Selain daripada penekanan terhadap tarbiah, penumpuan terhadap thaqafah ilmiah kepada para ahli juga amat dititik beratkan. Penguasaan ilmu pengetahuan juga adalah sebagai satu lambang serta kayu ukur terhadap kemegahan seseorang. Seindah mana pun rupa seseorang itu, sekaya mana pun dia jikalau tanpa ilmu pengetahuan, tetap akan di pandang enteng oleh masyarakat. Ibarat tin yang dihias indah hanya pada luarannya tetapi kosong didalam tidak berisi.
Daripada Ibnu Abbas Radiyallahu A'nhuma berkata : Telah bersabda Rasulullah S.A.W. “Seorang yang alim itu lebih kuat pengaruhnya atas syaitan daripada seribu a'bid ( yang tidak alim ) “ HR Tarmizi dan Ibnu Majah.
Berbekalkan cadangan yang telah dilontarkan daripada ahli serta program-program yang telah diaturkan sebelum ini, pihak DPMZ dengan bantuan dari sahabat serta sahabiah sekalian akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencernakan budaya cintakan ilmu dalam diri setiap mahasiswa mahasiswi Islam di bumi Zagazig ini. Penekanan terhadap pertuturan dalam bahasa arab juga akan cuba dititik beratkan. Hari jumaat sebagai hari bahasa arab akan di kuat kuasakan.
Madrasah Imam Syafie juga sebagai salah satu medium untuk menyampaikan ilmu turath kepada ahli, selain itu program yang berbentuk ilmiah akan dipertingkatkan lagi bagi merealisasikan harapan serta pencapaian ilmu yang kita impikan. Pihak DPMZ juga amat mengalu-alukan segala hasil terjemahan serta penulisan ilmah hasil kajian dari ahli. Usaha yang bakal diusahakan ini adalah bertujuan untuk mengasah bakat dan kemahiran terpendam yang ada dalam diri individu tertentu, juga bertujuan untuk menterjemahakan segala ilmu yang telah dipelajari dalam satu sudut yang berbeza melalui gaya penulisan.
Walaubagaimana pun, tanpa sokongan serta bantuan daripada para ahli, segala aktiviti juga program DPMZ tidak akan dapat dijalankan dengan baik. Kita hanya mampu merancang tetapi Allah juga yang menentukan dan perancangan Allah adalah sebaik-baik perancangan. Semoga segala rangka program dan perancangan serta penelitian yang ingin dilakukan dapat direalisasikan pada tahun ini insyaAllah.
RAMADHAN KARIM, ALLAHU AKRAM.
Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: “Apabila Ramadan tiba, maka pintu syurga akan dibukakan dan pintu neraka akan ditutup serta syaitan akan dibelenggu." (Riwayat Bukhari No. 1898 dan Muslim 1079)
Sejarah kefardhuan puasa ini bermula dalam bulan Syaban tahun yang ke dua hijrah. Namun sebelum itu puasa telahpun diketahui oleh umat-umat sebelumnya dan juga ahli kitab yang hidup sezaman dengan Rasulullah SAW.
Firman Allah yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman! Di wajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa” al-baqarah 183
Dengan keberkatan serta kerahmatan yang melimpah ruah dalam bulan ini, berserta dengan keizinan daripada Allah SWT, DPMZ akan mengadakan program “ Penghayatan Ramadhan” sepanjang bulan ramadhan ini bagi merebut segala pahala yang ditaburkan. Antara program yang akan diadakan ialah tadarus al-Quran sepanjang hari, majlis berbuka puasa dan solat tarawih, diskusi kitab, Qiamullail dan sebagainya. Ana beserta sahabat AJKT mengharapkan komitmen yang terbaik daripada semua ahli untuk turut serta menghidupkan bulan yang penuh dengan keberkatan ini.
Akhir kalam ana selaku pengerusi bagi sesi 09/10 beserta sahabat kepimpinan yang lain mengucapkan selamat menghadapi ramadhan yang mulia kepada seluruh ahli DPMZ yang berada di Mesir mahupun di tanah air. Semoga kita semua tergolong dalam kumpulan yang diredhoi serta mendapat keampunan daripada Allah SWT. Perbanyakkanlah amalan kita semua dalam akedemi ramadhan ini agar kita tidak di golongkan bersama golongan yang celaka akibat tidak mendapat keampunan daripada Allah selepas graduate dari akedemi Ramadhan ini.
Salam maghfirah, Kullu sanah wa antum tayyibun .
“SEDETIK BERSAMA SEABAD TERASA”
Pengerusi DPMZ
Sesi 2009/2010
Muhammad Hanif Jamaluddin
0 comments:
Post a Comment