Tuesday, August 24, 2010

Mesyuarat Agung Tahunan DPMZ Ke-17 Berjalan Lancar

Posted by UPP DPMZ On 5:04 PM No comments




MAT 17 berlangsung..... Barisan AJKT DPMZ sedang menjawab persoalan yang dikemukakan ahli

 DEWAN DARUL WEHDAH, AHAD, 15 OGOS 2010 : Alhamdulillah, Mesyuarat Agung Tahunan Ke-17 (MAT 17) bagi pimpinan sesi 2009/2010 telah diadakan dengan jayanya. Majlis yang bermula pada 9.00 pagi ini dirasmikan oleh wakil Badan Pengurus PMRAM yang hadir, iaitu Al-Fadhil Us Muhd Azlan Alias dan Us Ahmad Taufiq Dahlan. Untuk agenda pertama, ahli sidang telah melantik 4 orang Setiauasaha Sidang bagi MAT kali ini.
                Setelah itu mesyuarat diteruskan dengan pengesahan minit mesyuarat bagi MAT yang lepas. Kemudian, mesyuarat diteruskan lagi dengan pembentangan gerak kerja dan muhasabah bagi setiap jabatan dan unit. Pada awalnya mesyuarat kelihatan suram tetapi ia bermula rancak pada sesi petang apabila ahli mesyuarat mula mengajukan lebih banyak soalan dan muhasabah bagi memastikan pihak DPMZ akan lebih ke hadapan pada sesi yang akan datang.
                Pada sesi petang yang kedua, iaitu selepas Asar, ahli sidang mesyuarat telah bersepakat untuk melulskan dua usul berbangkit dengan usul pertama iaitu “Memperkasa aktiviti tarbiyyah dan pembangunan insan bagi membentuk mahasiswa berintegriti” dan “Memperkukuh kesatuan di kalangan mahasiswa dan menolak sebarang unsur-unsur perpecahan” untuk usul yang kedua. Diharapkan kedua-dua usul ini dapat dilaksanakan dengan baik pada sesi yang akan datang. Seluruh ahli telah memberikan respon yang baik kepada kedua-dua usul tersebut. Setelah selesai usul ini dibincangkan, Pengerusi DPMZ bagi Sesi 2009/2010 Us Muhammad Hanif Jamaluddin telah menyampaikan ucapan penangguhan dan pembubaran bagi pimpinan DPMZ Sesi 2009/2010 bagi menandakan berakhirnya kepimpinan bagi sesi tersebut.
                Kemudian, majlis diambil alih oleh pihak SPR 2010 bagi agenda seterusnya, iaitu sesi penamaan calon-calon yang bakal memegang tampuk kepimpinan DPMZ bagi sesi 2010/2011 seterusnya mengadakan sesi taa’ruf bagi calon-calon tersebut. Di akhir sesi ini, Al-Fadhil Us Muhammad Lokman Sulaiman sebagai Pengerusi DPMZ yang baru sempat menyampaikan sedikit ucapan yang berkisar harapan kepada semua ahli agar dapat memberikan kerjasama dan kepercayaan yang sepenuhnya kepada pimpinan yang baru serta berharap agar Islam akan terus tertegak di bumi Zagazig  yang kita cintai ini.
                Majlis diakhiri dengan penyampaian anugerah dan sijil penghargaan kepada seluruh ahli yang telah berjasa dengan membantu melicinkan lagi perjalanan program DPMZ sepanjang sesi 2009/2010. Antara anugerah yang disampaikan ialah Anugerah Tunas Harapan yang disandang oleh Us Muhd Nasuha Zakariah, Dr Umar Izzudin dan Dr Hafidzatul Hassaniyah Hasanuddin. Anugerah Jasamu Dikenang pula disandang oleh Us Muhd Mumtaz Harun dan Us Muhd Murshid Shafiee. Sementara itu, Anugerah Bait Mithali pula dianugerahkan kepada Rumah Us Hazri Sarman dan juga sebuah Rumah Mahasiswi di Imarah Hijau. Sekalung ucapan terima kasih diucapkan kepada seluruh ahli kerana telah menjayakan MAT kita pada sesi ini. Semoga pimpinan yang baru ini dapat meneruskan usaha untuk membawa dan menyebarkan wadah Islam di bumi Zagazig dengan penuh komited serta mendapat kerjasama dari semua ahli. 

0 comments:

Sahabat