Sunday, August 8, 2010

Jadikan Ramadhan Madrasah Mentarbiyah Diri

Posted by UPP DPMZ On 6:32 PM No comments


بسم الله الرحمن الرحيم.....
     Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT diatas segala rahmat dan limpah kurnianya sekali lagi kita semua berpeluang untuk menemui bulan yang mulia lagi barakah ini iaitu bulan Ramadhan 1431H.
     Ramadhan merupakan penghulu segala bulan yang hanya datang sekali sahaja dalam setahun. Bulan Ramadhan juga merupakan bulan yang sangat istimewa buat umat Islam  sebagaimana sabda baginda SAW :
إذا جاء رمضان فتحت أبواب الجنة وغلقت أبواب النار وصفدت الشياطين
Bermaksud: “apabila tiba bulan Ramadhan maka terbuka pintu-pintu syurga dan tertutup pintu-pintu neraka dan syaitan-syaitan dibelenggu” H.R. Muslim
   
     Kedatangan Ramadhan sebenarnya berbeza setiap tahun bagi kita kerana usia kita yang semakin meningkat dan matang. Sebagai seorang Muslim, marilah kita sama-sama menghayati dan memanfaatkan sepenuhnya  bulan Ramadhan kali ini. Sebagaimana yang kita ketahui, bulan Ramadhan merupakan bulan ibadat puasa. Selain itu, bulan Ramadhan juga merupakan bulan yang berkait rapat dengan keikhlasan dalam melakukan ibadah puasa. Sebagai contoh, bilamana seseorang hamba itu berpuasa dia boleh berbuka puasa bila-bila masa sahaja tanpa diketahui oleh orang lain. Tetapi kerana keikhlasan dan ketaqwaannya kepada Allah SWT yang maha mengetahui zahir dan batinnya, maka ia tidak melakukannya.
Begitu juga dengan amalan-amalan lain sepertimana yang kita tahu bulan Ramadhan menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda dalam apa jua amalan yang dilakukan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Lantaran itu, selain difardhukan ibadat puasa, kita juga dituntut melakukan amalan-amalan sunat seperti solat tarawih, solat sunat, iktikaf di masjid, membaca Al-Quran, bersedekah, amalan-amalan kebajikan dan sebagainya.
     Namun, apa yang paling penting adalah menyedari bahawa bulan Ramadhan bukan setakat berpuasa menahan lapar dan dahaga tetapi adalah untuk menahan seluruh anggota badan dari melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Dalam erti kata lain, kita dituntut untuk menjaga segala tingkah laku, perbuatan, tutur kata dan tindakan supaya kita dapat mencapai tahap yang diinginkan oleh Islam iaitu untuk mendapat keredhaan Allah SWT di dunia dan juga di akhirat.
     Justeru itu, kehadiran bulan Ramadhan kali ini tidak kita sia-siakan begitu sahaja. Tanamkan iltizam di dalam hati untuk kita menjadikan bulan Ramadhan kali ini lebih baik dari yang sebelumnya. Mohonlah perlindungan daripada Allah SWT supaya kita tidak tergolong di kalangan orang-orang yang mensia-siakan bulan Ramadhan yang mulia ini kerana sesungguhnya mereka yang tidak mendapat apa-apa di bulan Ramadhan ini adalah dikalangan mereka yang teramat rugi.
     Di kesempatan ini, saya menyeru kepada sahabat-sahabat sekalian untuk kita bersama-sama mengimarahkan bulan Ramadhan kali ini dengan memperbanyakkan amalan-amalan sunat seperti sedekah, solat sunat dan lain-lain serta jauhilah daripada melakukan maksiat. Bersyukurlah kerana kita diberi peluang oleh Allah SWT untuk menunaikan ibadat puasa di bumi anbiya’ ini dan manfaatkan sebaiknya kerana peluang ini mungkin tidak akan datang lagi pada lain hari.
     Akhir kata, marilah kita sahut kehadiran bulan Ramadhan kali ini dengan sebenar-benar penghayatan dan melakukan segala amalan dengan penuh keikhlasan. Mudah-mudahan, bulan Ramadhan kali ini dapat membentuk diri kita menjadi seorang Da’ie yang yang berkualiti dan mendapat keredhaan daripada Allah SWT.. AHLAN WASAHLAN YA RAMADHAN…
RAMADHAN KAREEM, ALLAHU AKRAM


Mohd Shobri Bin Mat Yaakub,
Ketua Unit Dakwah & Pembangunan Insan,
Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig,
Sesi 2009/2010.

0 comments:

Sahabat