Monday, November 29, 2010

Kalam Pengerusi DPMZ: Semua Pihak Memainkan Peranan

Posted by UPP DPMZ On 3:32 PM No comments


Assalamu’alaikum w.b.t.

Segala puji dan syukur kita panjatkan kepada Allah S.W.T. kerana telah mempertemukan kita dengan jalinan persaudaraan kerana Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah S.A.W. yang telah mewariskan kita selaut tanggungjawab perjuangan Islam yang tiada henti.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat” Surah Al-Hujuraat, ayat kesepuluh.

Bertepatan dengan usul yang telah disepakati untuk dibawa pada sesi ini iaitu memperkasa ukhuwah dan tarbiyah di kalangan ahli, maka pihak DPMZ menyeru kepada semua untuk kita bersama-sama memainkan peranan dalam menjayakan misi ini.

Di kesempatan ini juga, pihak DPMZ ingin mengingatkan kepada semua ahli supaya lebih berhati-hati dan prihatin terhadap hal-hal berkaitan keselamatan dan salah laku sosial. Ini kerana hanya dalam tempoh sebulan sahaja, kita telah menerima banyak laporan yang berkaitan. Hal ini sangat membimbangkan jika kita tidak mengambil perhatian bersama dan bertindak. Melalui pertemuan-pertemuan yang telah kita dilakukan bersama pihak keselamatan Mesir, kita diminta untuk terus melaporkan sebarang kejadian yang berkaitan dan pihak keselamatan Mesir akan sentiasa memantau seterusnya mengambil tindakan.

Akhir kata, semoga kita semua dapat mematuhi segala etika dan ketetapan yang telah digariskan oleh pihak DPMZ. Mudah-mudahan kita dapat menimba ilmu sebanyak-banyaknya di bumi Anbiya’ ini dalam keadaan aman dan dijauhkan dari segala masalah. Semoga kita juga dapat terus menjalin serta memperkukuh ukhuwah sesama kita. Salam ukhuwah.

‘KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH’
Muhamad Lokman B. Sulaiman,
Pengerusi Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig
Sesi 2010 / 2011.

0 comments:

Sahabat