Tuesday, January 18, 2011

Takziah Kepada Keluarga Almarhumah Nurul Iman Bt Ab Alim

Posted by UPP DPMZ On 4:51 PM No comments


ISKANDARIAH, 17 Jan - Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) merakamkan ucapan takziah atas musibah yang menimpa mahasiswi Perubatan Iskandariah, Almarhumah Nurul Iman Bt Ab Alim yang telah kembali ke rahmatullah pagi tadi.
Beliau telah disahkan meninggal dunia pada jam 10.15 pagi di Hospital Salamah setelah dikejarkan ke hospital tersebut. Pihak hospital juga telah mengesahkan bahawa almarhumah mengalami keracunan gas(Carbon Monoxide Poisoning) berpunca daripada kebocoran gas pemanas air. 

"Kes kebocoran gas pemanas air di Mesir kerap berlaku dan ianya pernah meragut nyawa mahasiswi Singapura sebelum ini", ulas Naib Presiden III PMRAM Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemanusiaan Saudara Mohd Farkhan B Md Zain. 

Beliau juga mengingatkan mahasiswa supaya menjaga dan memeriksa pengudaraan tandas atau bilik mandi bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. 

Sehingga kini, Timbalan Pengerusi HEWI PMRAM Saudari Norhafiza Bt Abd Wahab dan Ketua Unit Kebajikan dan Kemanusiaan HEWI PMRAM Saudari Norhasyimah Bt Hassan telah bergegas ke Iskandariah bagi membantu pengurusan di sana setelah mendapat panggilan mengenainya. 

Makluman selanjutnya akan dimaklumkan dari masa ke semasa melalui Yahoo Messenger PMRAM, Facebook dan AJKT Kebajikan Cawangan masing-masing. Semoga almarhumah ditempatkan bersama para solihin.

Sumber : pmram.org

0 comments:

Sahabat