Wednesday, November 16, 2011

Muzakarah Berkelompok Menjana Kemantapan Fikrah

Posted by UPP DPMZ On 10:54 PM No comments



Kepentingan Muzakarah Berkelompok (MB) menjadi tunjang kepada gerakan dakwah yang dibawa oleh Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) dan ia merupakan kunci penting dalam memastikan kelangsungan dakwah di kalangan mahasiswa/wi Islam terus subur.



PMRAM begitu optimis menggerakkan MB di seluruh peringkat samada di Kaherah mahupun di muhafazah kerana ia merupakan sunnah para pejuang agama Allah semenjak zaman Nabi Muhammad SAW yang bermula di rumah Abu Abdillah al-Arqam bin Abi al-Arqam.

Penanaman fikrah yang jelas terhadap Islam disemai di dalam MB kerana sebab itu MB menjadi suatu gerak kerja yang sangat penting bagi memastikan agenda dakwah berjaya.

Kesilapan dalam memahami konsep MB sebagai tempat bertalaqqi seratus peratus menyebabkan kegagalan sesuatu MB. 

MB bukan sekadar tempat perbincangan ilmiah bahkan ia menjadi tempat pembentukan fikrah melalui berpincangan 2 hala bagi mendapatkan pencerahan sesuatu dalil atau hujah.

Sebab itu, bukan semua yang menguasai ilmu mempunyai fikrah yang mantap, kerana fikrah perlu dibentuk dan ia bermula dengan MB. 

Lihat sirah, di hari kewafatan Nabi Muhammad SAW, para sahabat begitu sedih sehingga Saidina Umar RA memberikan amaran kepada sesiapa yang mengatakan bahawa Nabi Muhammad SAW wafat, maka kepalanya akan dipenggal. 

Akan tetapi lihat bagaimana ketokohan yang ada pada Saidina Abu Bakar As-Siddiq dalam menenangkan para sahabat dengan menyebut : 

"Sesiapa yang menyembah Muhammad, maka dia akan wafat dan tidak kekal, akan tetapi sesiapa yang menyembah Allah, maka Allah itu Maha Hidup dan tidak akan mati!"

Satu ungkapan yang jelas menunjukkan fikrah yang sangat hebat yang dimiliki oleh Saidina Abu Bakar As-Siddiq di kala para sahabat kesedihan yang teramat sangat.

Dalam kisah hijrah, ketika Saidina Abu Bakar As-Siddiq bersama-sama dengan Nabi Muhammad SAW di dalam gua Hira' ketika menyembunyikan diri daripada diburu oleh Kaum Musyrikin Mekah, beliau sanggup mencederakan diri disengat oleh binatang berbisa kerana menutupi lubang-lubang yang ada di dalam gua Hira' ketika Nabi Muhammad SAW tidur berehat kerana bimbang Nabi Muhammad SAW disakiti malahan membimbangi nyawa Nabi Muhammad SAW lebih daripada nyawa beliau.

Ketika baginda SAW tersedar dek terasa air mata Saidina Abu Bakar As-Siddiq jatuh mengalir kerana menahan kesatikan bisa yang ditanggung, lantas ditanya mengapa beliau sanggup menjadikan tubuh badannya untuk mempertahankan tubuh baginda SAW daripada disengat, lalu jawab Saidina Abu Bakar As-Siddiq :

"Sekiranya aku mati disebabkan bisa, maka Nabi Muhammad SAW masih hidup untuk meneruskan dakwah Islam. Akan tetapi sekiranya Nabi Muhammad SAW wafat, maka siapa lagi akan meneruskan dakwah ini??!"

Inilah kemantapan fikrah yang dimiliki oleh Saidina Abu Bakar As-Siddiq, maka tidak hairanlah beliau dilantik sebagai Khalifah yang pertama di dalam Islam.

Jelaslah bahawa bukan mudah membentuk fikrah yang hebat sebagaimana yang dimiliki oleh Saidina Abu Bakar As-Siddiq dalam memastikan urusan dakwah terus bergerak. 

Disebabkan itulah fikrah ini sesuatu yang mesti dibentuk, bukan sekadar hanya memperolehi ilmu, maka fikrah akan terjana. 

Akan tetapi ilmu yang ada walau setinggi mana jua, ia mestikan dibentuk dan diasah agar mampu menghasilkan fikrah yang mantap. 

Hal ini jelas apabila Nabi Muhammad SAW bersabda barangsiapa yang Allah berikan kebaikan padanya, maka ia akan dikurnikan kefahaman terhadap agama. 

Nabi Muhammad SAW menggunakan kalimah 'kefahaman' kerana ia berbeza dengan 'tahu'. Hal ini demikian kerana ramai manusia yang mengerti atau mengetahui mengenai agama namun tidak semua yang memahami agama. 

Kefahaman inilah peringkat seterusnya bagi tahu, dan kefahaman ini lahir daripada fikrah, manakala fikrah ini dibentuk melalui MB atau nama yang seumpama dengannya. 

Justeru, PMRAM meneruskan lagi subtajuk ucapan dasar Presiden bagi sesi ini yang berbunyi "Muzakarah Berkelompok Pemangkin Mahasiswa Bertaqwa" memandangkan kepentingan MB di masa kini dan selamanya. 

PMRAM juga menyelaraskan bahawa Hari Jumaat sebagai hari khusus bagi MB bagi setiap lapisan samada peringkat baru mahupun fasilitator.

Mahasiswa yang mempunyai fikrah yang mantap akan menghasilkan mahasiswa yang berkualiti.

Muhamad Zuhaili Saiman
Presiden
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) 2011

(Sumber) PMRAM

0 comments:

Sahabat