Monday, February 6, 2012

IHYA' SUNNAH, BERSAMA SUSURI SUNNAH PENUTUP SEGALA NABI.

Posted by UPP DPMZ On 1:32 AM No comments


ZAGAZIG, 5 Februari 2012 - Bersempena Sambutan Maulidurrasul 1433H, Unit Biah Solehah di bawah kendalian Unit Dakwah dan Pembangunan Insan DPMZ telah mengambil inisiatif bijak dengan menganjurkan satu majlis menyambut ulang tahun kelahiran Baginda Rasululullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang di beri nama "Ihya' Sunnah" pada 12 Rabiul awal 1433H bersamaan Februari 2012. Majlis tersebut telah dilangsungkan di Masjid Salam sekitar jam 8 malam dan berakhir pada jam 11 malam.


Kehadiran pengisi yang terkenal dengan sifat keilmuannya yang tinggi dalam bidang agama berjaya menarik perhatian ahli DPMZ untuk turun padang bagi besama-sama menghayati dan mengambil ibrah dari kisah dan sunnah perjuangan Baginda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam.

Pengisi yang dimaksudkan ialah Al-Fadhil Ustaz Mohd Nazrul b. Abd Nasir, mahasiswa tahun akhir kuliah Usuluddin Dakwah Universiti Al- Azhar Kaherah sy'bah Tafsir. Pada awal majlis, Pengerusi DPMZ Saudara Mohd Zainullah b. Mohd Pauzi terlebih dahulu menyampaikan kata-kata aluan dan azimat kepada ahli supaya terus menyokong dasar perjuangan islam yang telah dibawa oleh ulama-ulama terdahulu sehingga ulama kontemporari pada masa kini.

Majlis kemudiannya diteruskan lagi dengan bacaan Selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang dipimpin oleh kumpulan nasyid InSaff. Seluruh ruangan masjid bergema dengan bacaan selawat tanda syukur dan puji-pujian buat baginda Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, penutup segala nabi dan rahmat kepada seluruh alam.

Isi ceramah yang disampaikan oleh pengisi yang berkisarkan sirah perjalanan nabi-nabi terdahulu sehinggalah kepada penutup sekalian nabi banyak memberi input yang berkesan kepada ahli dalam menyingkap kesan perjalanan utusan Allah yang mulia di atas muka bumi ini.

Harapan DPMZ agar seluruh ahli dapat mengambil pengajaran dan terus berusaha ke arah menghidupkan semula Sunnah Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam yang kian lama ditinggalkan walhal dalam masa yang sama kita mengaku bahawa kitalah ummat baginda yang bertuah. Semoga dengan program-program sebegini dapat memberikan mesej kepada ahli bahawa DPMZ sentiasa membawa nama dan nilai islam dalam memastikan biah solehah di bumi Zagazig sentiasa dihidupkan. 










0 comments:

Sahabat