Monday, July 2, 2012

Keindahan Sabar Dalam Satu Penantian

Posted by UPP DPMZ On 4:26 AM No comments



Bukan mudah untuk menghadapi dilema sebuah penantian. Apatah lagi penantian tersebut dalam tempoh yang begitu panjang dan jauh. Sudah pasti pelbagai rasa mula menguji diri sama ada semakin kental untuk bertahan ataupun sebaliknya mual lantas kecundang di pertengahan jalan.
 
Sekian lama kehidupan terjerut dengan siri-siri pengkhianatan hak asasi kemanusiaan dan merasai jutaan penindasan kini sinarnya semakin dirasai. Kehidupan seakan dalam penjara dek haloba seorang kepimpinan menjadikan rakyat sebagai mangsa. Membina kemewahan di atas kesengsaraan orang lain menyuntik semangat rakyat Mesir terus bersabar dan berdoa.

Sukar untuk digambarkan keindahan sabar namun apabila pengakhirannya adalah sesuatu yang diimpikan sudah pasti akan menjadi saat paling indah dan menggembirakan. Penantian untuk hidup di bawah satu pentadbiran  kepimpinan berjiwa rakyat dengan didasari keikhlasan tanpa dicemari kepentingan diri akhirnya dirasai oleh anak-anak Mesir kini.

Tidak kira daripada golongan muda dan dewasa begitu bersyukur kerana penantian mereka selama ini diganjarkan sesuatu yang amat dinantikan puluhan tahun. Atmosfera juang dalam diri mempertahankan tanahair sendiri tidak pernah luntur bahkan sentiasa membara.

Percaturan Allah SWT untuk memberikan mereka erti kesabaran bukti bahawa setiap kesabaran itu akan diganjarkan oleh Allah SWT sebuah kebaikan yang cukup bermakna. Apabila melihat senario perjalanan dilalui oleh pemuda-pemudi Mesir ini bakal menyingkap kembali sejarah lampau perjuangan sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW dalam memperjuangkan Islam.

Cabaran dan ujian dilalui dengan keyakinan kepada janji Allah SWT sekaligus memungkinkan kemenangan Islam  meresapi seantero dunia. Kegemilangan sejarah pahlawan Islam satu ketika dahulu terus meniupkan semangat kepada generasi kini dalam menyantuni dan memahami akidah perjuangan pejuang Islam sebenar.

Sebagai contoh adalah peristiwa “Perjanjian Hudaibiyah” yang mengambil tempoh selama 10 tahun dan di antara isi kandungannya adalah seperti berikut :

1)  Kaum Muslimin tidak dibenarkan untuk menziarahi pada tahun tersebut, tetapi ditangguhkan hingga ke tahun hadapan.
2)  Pada tahun hadapan, kaum Muslimin dibolehkan menziarahi, tetapi tidak boleh tinggal di kota Mekah melebihi selama 3 hari.
3) Kaum Muslimin Madinah tidak boleh mengajak orang-orang yang tinggal di kota Mekah untuk tinggal di kota Madinah, demikian juga kaum Muslimin tidak dibenarkan menghalang umat Islam Madinah yang tinggal di kota Mekah.
4)  Apabila di kalangan orang-orang Islam Mekah ada yang melarikan diri ke kota Madinah, maka harus kembalikannya ke kota Mekah namun jika berlaku sebaliknya tidak perlu dikembalikan.
5)  Seluruh suku bangsa Arab, bebas menjalin hubungan dengan sesiapa sahaja.

Jika dilihat daripada satu sudut sudah pasti akan dilihat tidak seimbang namun kebijaksanaan Rasulullah SAW dalam setiap keputusan membuatkan ianya adalah yg terbaik biarpun beberapa sahabat baginda kurang bersetuju.

Firman Allah SWT :

“Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata, kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya).” 

(Surah Al-Fath – Ayat 1 & 2).

Namun begitu, kesabaran Nabi Muhammad SAW dan sahabat menatijahkan satu impak sangat besar untuk Islam apabila dalam tempoh  2 tahun pertama, jumlah mereka yang memeluk agama Islam telah melebihi jumlah kaum Muslimin ketika itu.

Ketika di Hudaibiyah jumlah mereka sebanyak 1400 orang, tetapi 2 tahun kemudian sewaktu mendatangi kota Mekah Baginda SAW diikuti oleh 10,000 orang. Ternyata apabila kesabaran dalam menantikan sebuah kejayaan adalah satu keindahan dan ianya sukar digambarkan percaturannya.

Momentum peristiwa ini lahirlah pejuang handalan Islam seperti  Khalid bin Walid, panglima perang dan ahli strategi Quraisy yang ulung iaitu Amr bin Ash telah memeluk Islam setelah Perjanjian Hudaibiyah tersebut dengan rela hatinya.

Ini membuktikan kemurnian perjuangan Islam perlu didasari dengan kesabaran dan keyakinan kepada janji Allah SWT . Lakaran sejarah ini akan terus diingati agar kita dapat mengambil pengajian intipati dan kebaikan untuk diaplikasikan dengan realiti dunia masa kini.

Jika rakyat Mesir mampu bersabar untuk mengecapi kejayaan yang besar sudah pasti di peringkat PMRAM juga akan terus berusaha tanpa jemu dalam memperjuangkan hak mengembalikan ARMA kepada PMRAM.


Seumpama kata bidalan  "Hujan tidak sekali jatuh, simpai tidak sekali erat"  maka PMRAM sehingga kini tidak berputus asa untuk mengembalikan ARMA. Kerana perjuangan mereka terdahulu dalam mendapatkan ARMA bukti satu pengorbanan yang perlu diertikan.

Sesungguhnya dengan kesabaran menjadikan Nabi Yusuf A.S tidak pernah merungut tatkala diuji, tidak mengeluh saat dikeji, tidak rebah ketika dikhianti saudara sendiri sebaliknya membentuk jatidiri seorang nabi.

Sepertimana firman Allah SWT di dalam Surah Yusuf ayat 18 yang bermaksud :

" Bersabarlah  dengan sebaik-baiknya, dan Allah jualah tempat meminta pertolonganNya, mengenai apa yang kamu katakan itu."

Oleh demikian, latihlah sabar dalam diri agar membentuk jiwa hamba sejati mentaati Allah SWT sepenuh hati, meneruskan perjuangan Nabi Muhammad SAW menyampaikan risalah suci sehingga bertemu rabbul izzati.

Zulhafeez Ahmad Zahidi
Timbalan Presiden
( Lajnah Perancang dan Pantia )
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012

Sumber : pmram.org

0 comments:

Sahabat