Monday, July 2, 2012

Satu Kesatuan Satu Ummah

Posted by UPP DPMZ On 10:41 PM No comments

 
“Sebab kita  perlu bersatu dengan kesatuan yang disatukan dengan menyatukan semua persatuan agar bersatu demi Yang Maha Satu” (pidato adik-adikku-Syafiqah Fasiha Ahmad Safri)
 
Kita dapat melihat betapa  pentingnya untuk kita bersatu dan bekerjasama dalam apa-apa sahaja tindakan demi mencapai kesefahaman dalam sesuatu organisasi  dan persatuan. Apatah lagi kerja- kerja berbentuk kemasyarakatan, amal kebajikan dan sosial sebagai medium dakwah yang didukung selama ini.

Sesuatu kerja mana mungkin dapat dilaksanakan dengan sempurna dan sistematik jika tidak ada kebersamaan kefahaman. Kefahaman di sini menfokuskan  kesefahaman di antara sesama ahli.

Sebongkah bata memerlukan bongkah-bongkah bata yang lain untuk mendirikan sebuah bangunan. Sebahagian bongkah bata posisinya di tapak utama, sebahagiannya berada di posisi yang lain, dan setiap dari bongkah bata berpegangan antara satu sama lain. Namun andai batu bata disatukan tanpa ada pengikatnya seperti simen, maka bangunan tidak akan kukuh dan bertahan lama sekalipun nampak terpacak struktur binaanya.

Begitulah jua insan yang bernafas di muka bumi Tuhan. Sesuatu perancangan sukar mencapai  matlamat disebabkan tidak ada pengikat atau dengan kata lain kesefahaman di antara ahli. Kesefahaman tidak akan terbentuk tanpa adanya sikap toleransi, saling membantu dan saling mempercayai, serta saling menguatkan antara satu sama lain. Ia bukan sekadar kesefahaman fikrah, tetapi kesefahaman hati  amat perlu diperkukuh. Bak kata  pujangga "bersatu kita teguh bercerai kita roboh".

Sirah perjuangan baginda Rasulullah SAW  jelas menunjukkan bagaimana bekerja secara berorganisasi boleh menghasilkan impak yang luar biasa. Rasulullah SAW telah berjaya merubah landskap tanah Semenanjung Arab dalam masa 23 tahun sahaja hasil bekerja secara berorganisasi atau berjamaah.

Kejayaan yang terhasil adalah kerana usaha gigih Rasulullah menyatukan umatnya untuk bersama- bersama menyahut seruan wahyu itu. Kejayaan ini jelas disebabkan hati-hati mereka terikat kerana Yang Maha Satu dan cinta para sahabat kepada Rasulullah SAW, dengan kepercayaan dan saling membantu di antara merekalah  akhirnya membuahkan impak kejayaan Islam.  

Firman Allah SWT bermaksud:

“Oleh itu maafkanlah mereka mengenai (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonlah keampunan bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah (syura) dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian sesudah engkau berazam (setelah melaksanakan syura untuk membuat sesuatu ) maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”

(Surah Ali Imran : 159)

Kejayaan dalam mencapai sesuatu objektif program atau aktiviti juga dapat tercetus hasil keikhlasan dan ketaqwaan ahli itu sendiri, kerana Allah SWT pasti akan membantu hambanya yang ikhlas membuat amal kebajikan dan sesuatu kerja kerana Nya.

“Wahai rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh, sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”  
                                                           
(Surah Al-Mukminun : 51)
"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"

Nur Ahmad Wafiy Bin Noor Azri
Naib Presiden II
(Ketua Lajnah Muhafazah)
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012

Sumber : pmram.org

0 comments:

Sahabat