Monday, August 26, 2013

Zagazig : Evakuasi Sukarela 2013

Posted by UPP DPMZ On 8:05 PM No comments



ZAGAZIG, 26 Ogos 2013 - Pepatah melayu pernah menyebut ‘yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing’. Itulah ungkapan yang boleh diberikan kepada Ajk Jawatankuasa Darurat Zagazig 2013 (JKD Zagazig) yang telah beroperasi selama 11 hari di dalam Evakuasi Sukarela 2013 yang melibatkan 210 warga Malaysia yang berada di Zagazig.

Warga Malaysia yang terlibat telah berkumpul jam 9.00 pagi di Zagazig Malaysian Students Hall yang menjadi bilik gerakan JKD Zagazig sepanjang tempoh darurat. Ini bertujuan memudahkan segala urusan pergerakan semua warga Malaysia di Zagazig untuk menunggu bas sebelum tiba dan seterusnya bertolak ke Dewan Malaysia Abbasiyyah Kaherah (DMAK) atau dikenali Asrama Melayu Abbasiah (ARMA).


Kehadiran peserta Evakuasi Sukarela 2013 bermula jam 9.00 pagi, dan pihak JKD Zagazig telah menyusun nama peserta mengikut negeri serta pembahagian bas telah dilakukan awal bagi memudahkan perjalanan ke Kaherah. Pendaftaran dibuka bagi memastikan nama-nama mereka agar tidak tercicir dan mengetahui alamat penjaga atau waris di Malaysia serta nombor telefon waris untuk mudah dihubungi. 

Taklimat turut diberikan berkaitan etika atau peringatan yang telah dikeluarkan dari Bilik Gerakan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) supaya segala permasalahan diperingkat evakuasi kali ini tidak berlaku ketika berada di Lapangan Terbang nanti.

Sebanyak 5 buah bas telah tiba di Zagazig yang disediakan oleh pihak KBMK, 2 buah bas bagi pelajar lelaki dan 3 buah bas bagi pelajar perempuan untuk membawa ke DMAK atau ARMA. Penerbangan ke Malaysia dijangka pada 27 Ogos 2013 hari  Selasa jam 4.30 petang dan tiba di Malaysia pada jam 9.00 pagi pada 28 Ogos 2013 hari Rabu.


Semoga perjalanan mereka dipermudahkan dan sama-sama kita mendoakan agar bumi Mesir kembali aman dan berada di bawah pemerintahan yang adil dan mendaulatkan syariat Allah SWT. Kita berharap warga Malaysia yang berbaki di Mesir khususnya di Zagazig dapat menyebarkan maklumat dengan tepat berkaitan isu Mesir agar rakyat Malaysia dan keluarga di tanahair menerima maklumat yang jelas dan lagi sahih.

“Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan”

0 comments:

Sahabat