Saturday, March 8, 2014

Diskusi Kitab Penawar Bagi Hati Siri II: "Menjaga Hati Kunci Utama Amalan"

Posted by UPP DPMZ On 4:07 PM No comments


ZAGAZIG, 4 Mac 2014 - Diskusi Kitab Penawar Bagi Hati Siri II diteruskan lagi oleh AF Ust Jamiluddin Murad Al-Yamani di Zagazig Malaysian Students Hall di dalam usaha membersihkan hati kita sebagai seorang muslim. Diskusi Kitab bermula selepas Isyak sekitar jam 8 malam dan kehadiran warga Malaysia Di Zagazig memberangsangkan dan mendapat sambutan yang baik.

Pada siri kali ini, pengisi membincangkan tajuk berkenaan 'Hati Manusia' yang menjadi raja pada anggota lainnya yang boleh dikategorikan sebagai tentera. Ia menyentuh aspek-aspek yang boleh merosakkan hati , antaranya makan berlebihan, kata-kata yang berlebihan, marah, dan sifat dengki. Sifat sebegini boleh merosakkan ibadah seseorang kerana ia sebahagian sifat syaitan dalam melemahkan iman.


Penekanan lain yang turut ditekan pengisi adalah sifat kedekut dan sayangkan harta, cintakan kemegahan, serta cintakan dunia. Ketiga-tiga cinta ini sangat berlawanan dengan sifat yang dianjurkan dalam Islam iaitu , bersedekah, tidak angkuh dan juga cinta pada akhirat. Selain itu perkara yang bahaya bagi seorang muslim juga disebut antaranya meninggi diri, ujub dan riak. Ia adalah sifat yang mungkin tidak disedari dan ia timbul di dalam hati.

Semoga kita mengambil iktibar dan pengajaran di dalam Diskusi Kitab seperti ini dan menyampaikan pada sahabat-sahabat yang tidak hadir agar komuniti Zagazig sedar betapa pentingnya menjaga hati. Program tamat sekitar jam 10 dan hadiah cenderahati turut diberi kepada pengisi oleh Pengerusi DPMZ sesi 2013/2014 saudara Muhamad Nasuha B. Mohd Zakariah tanda penghargaan.

 "MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN"
 

0 comments:

Sahabat