Bukan mudah untuk menghadapi dilema
sebuah penantian. Apatah lagi penantian tersebut dalam tempoh yang begitu
panjang dan jauh. Sudah pasti pelbagai rasa mula menguji diri sama ada semakin
kental untuk bertahan ataupun sebaliknya mual lantas kecundang di pertengahan
jalan.
Sekian lama kehidupan terjerut dengan
siri-siri pengkhianatan hak asasi kemanusiaan dan merasai jutaan penindasan
kini sinarnya semakin dirasai. Kehidupan seakan dalam penjara dek haloba
seorang kepimpinan menjadikan rakyat sebagai mangsa. Membina kemewahan di atas
kesengsaraan orang lain menyuntik semangat rakyat Mesir terus bersabar dan
berdoa.
Sukar untuk digambarkan keindahan sabar
namun apabila pengakhirannya adalah sesuatu yang diimpikan sudah pasti akan
menjadi saat paling indah dan menggembirakan. Penantian untuk hidup di bawah
satu pentadbiran kepimpinan berjiwa
rakyat dengan didasari keikhlasan tanpa dicemari kepentingan diri akhirnya
dirasai oleh anak-anak Mesir kini.
Tidak kira daripada golongan muda dan
dewasa begitu bersyukur kerana penantian mereka selama ini diganjarkan sesuatu
yang amat dinantikan puluhan tahun. Atmosfera juang dalam diri mempertahankan
tanahair sendiri tidak pernah luntur bahkan sentiasa membara.
Percaturan Allah SWT untuk memberikan
mereka erti kesabaran bukti bahawa setiap kesabaran itu akan diganjarkan oleh
Allah SWT sebuah kebaikan yang cukup bermakna. Apabila melihat senario
perjalanan dilalui oleh pemuda-pemudi Mesir ini bakal menyingkap kembali
sejarah lampau perjuangan sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW dalam memperjuangkan
Islam.
Cabaran dan ujian dilalui dengan
keyakinan kepada janji Allah SWT sekaligus memungkinkan kemenangan Islam meresapi seantero dunia. Kegemilangan sejarah
pahlawan Islam satu ketika dahulu terus meniupkan semangat kepada generasi kini
dalam menyantuni dan memahami akidah perjuangan pejuang Islam sebenar.
Sebagai contoh adalah peristiwa
“Perjanjian Hudaibiyah” yang mengambil tempoh selama 10 tahun dan di antara isi
kandungannya adalah seperti berikut :
1)
Kaum Muslimin tidak dibenarkan untuk menziarahi pada tahun tersebut,
tetapi ditangguhkan hingga ke tahun hadapan.
2)
Pada tahun hadapan, kaum Muslimin dibolehkan menziarahi, tetapi tidak
boleh tinggal di kota Mekah melebihi selama 3 hari.
3) Kaum Muslimin Madinah tidak boleh
mengajak orang-orang yang tinggal di kota Mekah untuk tinggal di kota Madinah,
demikian juga kaum Muslimin tidak dibenarkan menghalang umat Islam Madinah yang
tinggal di kota Mekah.
4)
Apabila di kalangan orang-orang Islam Mekah ada yang melarikan diri ke
kota Madinah, maka harus kembalikannya ke kota Mekah namun jika berlaku
sebaliknya tidak perlu dikembalikan.
5)
Seluruh suku bangsa Arab, bebas menjalin hubungan dengan sesiapa sahaja.
Jika dilihat daripada satu sudut sudah
pasti akan dilihat tidak seimbang namun kebijaksanaan Rasulullah SAW dalam
setiap keputusan membuatkan ianya adalah yg terbaik biarpun beberapa sahabat
baginda kurang bersetuju.
Firman Allah SWT :
“Sesungguhnya Kami
telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang
jelas nyata, kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan
silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmatNya
kepadamu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan
Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya).”
(Surah Al-Fath –
Ayat 1 & 2).
Namun begitu, kesabaran Nabi Muhammad SAW
dan sahabat menatijahkan satu impak sangat besar untuk Islam apabila dalam
tempoh 2 tahun pertama, jumlah mereka
yang memeluk agama Islam telah melebihi jumlah kaum Muslimin ketika itu.
Ketika di Hudaibiyah jumlah mereka
sebanyak 1400 orang, tetapi 2 tahun kemudian sewaktu mendatangi kota Mekah
Baginda SAW diikuti oleh 10,000 orang. Ternyata apabila kesabaran dalam
menantikan sebuah kejayaan adalah satu keindahan dan ianya sukar digambarkan
percaturannya.
Momentum peristiwa ini lahirlah pejuang
handalan Islam seperti Khalid bin Walid,
panglima perang dan ahli strategi Quraisy yang ulung iaitu Amr bin Ash telah
memeluk Islam setelah Perjanjian Hudaibiyah tersebut dengan rela hatinya.
Ini membuktikan kemurnian perjuangan
Islam perlu didasari dengan kesabaran dan keyakinan kepada janji Allah SWT .
Lakaran sejarah ini akan terus diingati agar kita dapat mengambil pengajian
intipati dan kebaikan untuk diaplikasikan dengan realiti dunia masa kini.
Jika rakyat Mesir mampu bersabar untuk
mengecapi kejayaan yang besar sudah pasti di peringkat PMRAM juga akan terus
berusaha tanpa jemu dalam memperjuangkan hak mengembalikan ARMA kepada PMRAM.
Seumpama kata bidalan "Hujan tidak sekali jatuh, simpai tidak
sekali erat" maka PMRAM sehingga
kini tidak berputus asa untuk mengembalikan ARMA. Kerana perjuangan mereka
terdahulu dalam mendapatkan ARMA bukti satu pengorbanan yang perlu diertikan.
Sesungguhnya dengan kesabaran menjadikan
Nabi Yusuf A.S tidak pernah merungut tatkala diuji, tidak mengeluh saat dikeji,
tidak rebah ketika dikhianti saudara sendiri sebaliknya membentuk jatidiri
seorang nabi.
Sepertimana firman Allah SWT di dalam
Surah Yusuf ayat 18 yang bermaksud :
"
Bersabarlah dengan sebaik-baiknya, dan
Allah jualah tempat meminta pertolonganNya, mengenai apa yang kamu katakan
itu."
Oleh demikian, latihlah sabar dalam diri
agar membentuk jiwa hamba sejati mentaati Allah SWT sepenuh hati, meneruskan
perjuangan Nabi Muhammad SAW menyampaikan risalah suci sehingga bertemu rabbul
izzati.
Zulhafeez Ahmad
Zahidi
Timbalan Presiden
( Lajnah Perancang
dan Pantia )
Persekutuan Melayu
Republik Arab Mesir 2012
Sumber : pmram.org
0 comments:
Post a Comment