Saturday, November 15, 2008

PMRAM Optimis Gandingan Perubatan-Pengajian Islam

Posted by UPP DPMZ On 9:50 PM No comments

Sumber Rasmi Laman Web PMRAM

Presiden PMRAM, Ustaz Khairul Anuar Ismail mengharapkan kerjasama antara golongan pengajian Islam dan perubatan mampu menjadi gandingan yang mantap terhadap perkembangan ilmu Islam masa kini. Beliau berkata demikian ketika diberikan penghormatan berucap merasmikan M2Z Majlis Tautan Ukhuwah Zagazig. Majlis tersebut berlangsung di Dewan As-Solah di bandar Zagaziq di sini.

Program sehari anjuran Jabatan Pengerusi DPMZ itu dihadiri hampir 100 orang mahasiswa dan mahasiswi baru kuliah Perubatan, Universiti Zaqaziq yang baru tiba di muhafazah tersebut. Sementara itu, beliau juga mengadakan dialog dalam slot PMRAM bersama dua lagi anggota Badan Pengurus PMRAM yang hadir iaitu Ustaz Mohamad Azizudin Aznan dan Ustaz Muhammad Abdul Malik Abdul Karim. Dalam sesi soal jawab itu, pelbagai persoalan dibangkitkan oleh para peserta. Antaranya kelebihan menjadi ahli PMRAM, pengalaman manis PMRAM, pengiktirafan PMRAM di Malaysia, aktiviti sukan PMRAM bagi siswi dan sumber kewangan bagi PMRAM. Respon yang baik dari para peserta menunjukkan sikap minat mereka bagi mengetahui PMRAM melalui lidah Presiden yang datang bertemu mereka sendiri. Semasa menjawab persoalan berkaitan aktiviti sukan bagi siswi yang dibangkitkan oleh seorang peserta sisiwi, Ustaz Khairul Anuar menjelaskan dalam PMRAM terdapat juga sukan khusus untuk siswi sahaja bahkan ia melibatkan penyertaan di peringkat Asia. "HEWI PMRAM juga terlibat dalam Asean's Culture iaitu satu sukan yang menggabungkan siswi dari negara Asia Tenggara, dari Thailand,Indonesia dan Singapura," ujar beliau lagi. Seorang peserta siswa turut bertanyakan nama tokoh-tokoh yang pernah terlibat dalam PMRAM, Ustaz Khairul Anuar menamakan antara mereka ialah mantan Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Hamid Othman, Duta Besar Malaysia Kaherah sekarang, Dato' Zainal Abidin Abdul Kadir, Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan, Tan Sri Abdul Kadir Talib, mantan ADUN Gual Periuk, Kelantan Ustaz Abdullah Abdul Razak, mantan ADUN Guchil, Kelantan Ustaz Zulkifli Yaakob dan mantan Ahli Parlimen Bachok, Kelantan Allahyarham Prof.Zulkifli Mohamad.

0 comments:

Sahabat