Tuesday, September 22, 2009

PERUTUSAN AIDILFITRI PRESIDEN PMRAM 2009

Posted by UPP DPMZ On 11:57 PM No comments







PERUTUSAN AIDILFITRI PRESIDEN PMRAM 2009
الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر ولله الحمد
    بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه

Pertama dan selamanya, marilah kita panjatkan rasa syukur kepada Allah S.W.T yang telah mengizinkan kita untuk terus mengecapi nikmat kembali kepada fitrah setelah melalui fasa tarbiyyah di bulan Ramadhan. Selawat dan salam ke atas pahlawan agung, Rasulullah S.A.W yang telah menyempurnakan misi da’wah ke atas manusia agar kembali kepada fitrah mereka.
Sahabat seaqidahku sekalian,
                Kita telah melalui fasa tarbiyyah tahunan di bulan Ramadhan yang disebut-sebut sebagai penghulu segala bulan. Selama tiga puluh (30) hari hidup ini menyaksikan pertarungan sengit antara diri yang menuntut fitrah suci dan nafsu yang menuntut agar hidup seolah tidak bertuhan. Saya percaya ramai di kalangan kita bersungguh untuk menjayakan tarbiyyah ini, namun rasa hamba seharusnya tidak bermusim. Sesuai dengan sabda Rasulullah S.A.W;
"اتق الله حيث ما كنت"
Maksudnya “Bertaqwalah kamu di mana sahaja kamu berada”

                Bukti kejayaan tarbiyyah Ramadhaniyyah yang telah dilalui, kita tidak akan menjadi golongan Ramadhaniy yang hanya merasa dirinya hamba ketika di bulan Ramadhan sahaja. Malangnya selepas berlalu bulan itu, rasa hamba tersebut hilang dan kembali menjadi manusia yang lupa Penciptanya. Jadilah kita antara golongan yang komited terhadap cara hidup Islam, disebut sebagai golongan Rabbaniy. Semangat berkhidmat untuk agama tidak bermusim, bahkan hidup sebagai hamba perlu diatur persembahannya untuk Allah S.W.T agar hari ini lebih baik dari hari semalam.

                Jika dahulu Allah menurunkan wahyu kepada para nabi dan rasul demi peringatan untuk manusia terhadap dosa noda yang telah mereka lakukan. Namun setelah ketiadaan para utusan Allah, adakah mesej peringatan tersebut terus terhenti? Umum mengetahui kini ummat manusia menghadapi pelbagai bala bencana. Sebagai tanda soal buat kita, adakah itu bukan mesej peringatan dari Allah? Penyakit flu H1N1 sebagai contoh, bukankah itu ‘bahasa’ Allah untuk mengingatkan kita betapa jauh kedudukan manusia umumnya dan orang-orang Islam khususnya dari kehidupan Rabbaniy acuan Nabi? Saya percaya semua di kalangan kita tahu erti bala di dalam Islam. Ia bukan sekadar bencana alam atau rencatan sistem kehidupan , sebaliknya ia adalah peringatan dari Allah atas perilaku manusia. Semakin jauh manusia dari cara hidup Islam, semakin berat misi da’wah yang perlu dipikul.

Sahabat seperjuanganku sekalian,

                Apabila disebut tanggungjawab da’wah, ia merupakan topik serius yang memerlukan perhatian kita bersama. Imam Hasan al-Banna menyebutkan di dalam artikelnya, sesungguhnya hidup ini sifatnya berkorban bukan hanya menadah tangan dan berserah nasib. Itulah sifat penda’wah yang menjulang panji ketuanan Islam. Mereka mempunyai daya tahan dan jati diri yang tinggi, bersedia untuk berdikari dan memberi.

Golongan penda’wah juga disebut sebagai agen penyatu ummat berdasarkan firman Allah;

واعتصموا بحبل الله جميعا ولا تفرقوا واذكروا نعمة الله عليكم إذ كنتم أعدآء فألف بين قلوبكم
Maksudnya “Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah, dan jangan berpecah belah. Dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (di zaman jahiliyyah) berpecah belah, kemudian Allah satukan hati-hati kamu” Surah Ali Imran 103.

                Sesungguhnya penyatuan hati hanya dapat dicapai dengan kesungguhan kita berpegang sepenuhnya dengan ajaran Islam yang sebenar. Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) kini dan selamanya berusaha membawa arus gelombang mahasiswa-mahasiswi Melayu di bumi Mesir ini dengan acuan Islam.Sungguhpun pelbagai tribulasi yang telah dilalui, kini kita tetap masih mampu melangkah ke hadapan membawa agenda kebajikan sejagat dengan gemblengan tenaga PMRAM Pusat dan Cawangan yang terdiri dari Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) dan Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi (DPM). Ini membuktikan kesatuan hati kita guna untuk menyahut seruan Allah melalui ayat berikutnya;

"ولتكن منكم أمة يدعون إلى الخير و يأمرون بالمعروف وينهون عن المنكر"
Maksudnya “Dan hendaklah ada di kalangan kamu segolongan yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan menegah dari yang mungkar” Ali Imran 104.

                Samada mahu ataupun tidak mahu, kita perlu menyedari harapan ummat terhadap golongan terpelajar seperti kita amat tinggi. Masyarakat tidak mengharap agar kita membawa balik karung emas lambang kemegahan ataupun pakaian ilmu yang si pemakainya buruk akhlak. Sebaliknya apa yang diharapkan semata-mata agar kita mampu menjadi agen perubah masyarakat supaya kembali kepada fitrah asal kejadian manusia yang bertuhan dan sedar diri bahawa dirinya hamba.

                Justeru dengan kesedaran itu, PMRAM berasa tanggungjawab memelihara dan mendidik jiwa yang berada di bawah naungannya agar benar-benar memiliki peribadi Rabbaniy. Sangat malang apabila kita hanya menjadi perakam-perakam ilmu sementara peribadinya hancur. Saidina Umar R.A telah menegaskan;

“Sesungguhnya aku sangat takut golongan yang ‘alim lisan dan jahil hati”

                Sama-sama kita koreksi diri, adakah kita telah menyempurnakan harapan Rasulullah S.A.W yang berbunyi;

"إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق"
Maksudnya “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan misi memuliakan akhlak”

Sahabat yang dikasihi sekalian,

                Di musim ini, kita ditarbiyyah oleh Allah dalam keadaan senang. Ramadhan dihampar ketenangan beribadah, juadah berbuka yang mudah diperolehi dan pelbagai. Menyambut Syawal dengan debaran gembira dapat menyucikan diri kembali kepada fitrah.

                Bandingkanlah antara nasib kita dan nasib saudara-saudara kita yang ditindas. Tanah air mereka diceroboh dan hidup mereka hancur disebabkan keghairahan penguasa dunia yang lagaknya seperti tuhan. Bumi tertindas Palestin, Chechnya, Afghanistan dan banyak lagi bumi umat Islam tertindas yang belum diperhati dunia. Jadikanlah memori hidup mereka sebagai memori hidup kita. Tarbiyah Ramadhan mengajar kita untuk mengingati saudara-saudara kita di sana. Janganlah kita hanya sekadar ditarbiyah tetapi kesedaran itu masih belum timbul. Lakukanlah tindakan yang membuktiukan bahawa kita menyedari akan keadaan tersebut. Sebagai membuktikan kesungguhan, PMRAM dengan tanggungjawab kebajikan atas nama Islam sehingga kini meneruskan usaha membantu mereka semampu mungkin. Isu Gaza yang lepas membuktikan PMRAM tidak ketinggalan menghulurkan bantuan dengan gemblengan usaha diseluruh saluran yang ada samada daripada PMRAM Pusat mahupun Cawangan sehingga berjaya mengumpulkan LE 100,000. Itulah kekuatan yang ada hasil daripada kesatuan hati yang kita pupuk selama ini.

Satu Fikrah Satu Amal

Semoga slogan ini akan terus kita jayakan di setiap peringkat kerana kita adalah PMRAM. Tiada yang mustahil untuk kita capai sekiranga kita bersatu mengembleng tenaga. Sempena hari lebaran ini sama-samalah kita mengenang nasib ummat Islam yang tertindas, moga-moga dengan kesedaran tersebut meledakkan semangat kita agar terus istiqamah dalam jalan da’wah ini demi melihat kalimah LAILAHAILLAH tertegak dan dijulang tinggi.   

Salam Syawal 1430H, siru ala barakatillah…

Abdul Mu’izz bin Muhammad
Presiden PMRAM 2009

0 comments:

Sahabat