Saturday, October 10, 2009

Kenangan Manis Jaulah Makam Auliya` Tanta-Iskandariah 2009

Posted by UPP DPMZ On 7:29 PM No comments


Para peserta  bergambar di hadapan Masjid Nabi Daniel As
TANTA-ISKANDARIAH, Khamis, 8 Oktober 2009 : Unit Sambutan Dan Rehlah DPMZ telah mengadakan Jaulah Ke Makam Auliya` (Wali Allah) dengan bertujuan untuk memberi kesedaran kepada para peserta mengenai kepentingan mencari keredhaan Allah di muka bumi ini, memberi keinsafan kepada para peserta melalui kisah keramat para wali Allah serta mempelajari sejarah kebudayaan tamadun Mesir yang agung.Jaulah ini disertai oleh 24 orang termasuk musyrif iaitu Ustaz Saiful Azim.2 buah van telah disewa bagi perjalanan kali ini.
          Perjalanan telah bermula pada jam 7 pagi menuju ke Tanta untuk melawat makam wali-wali Allah di sana.Para peserta tiba di sana sekitar jam 8.30 pagi dan dibawa melawat makam di Masjid Syed Badawi yang terletak di Awal Bahr.Syed Badawi merupakan Imam bagi Tarekat Syazuliah iaitu sebuah kumpulan Sufi yang terkenal di bumi Mesir.Beliau digelar Syed Badawi kerana menutup wajahnya yang amat bercahaya dan diriwayatkan sesiapa yang melihat wajahnya pasti akan pengsan kerana `nur` yang terpancar dari wajahnya.Beliau juga menyertai Perang Salib di Mansurah.Semasa hayatnya, beliau telah berjaya mengubah Tanta menjadi sebuah kota perdagangan.Selain itu, terdapat juga makam para pengikutnya yang lain seperti Syed Mujahid dan banyak lagi serta tapak kaki dan rambut Rasulullah di masjid tersebut.
          Ekspedisi ini diteruskan lagi dengan perjalanan ke Iskandariah dan tiba di sana pada waktu Zohor.Iskandariah merupakan sebuah kota lama dan telah dibuka oleh Alexander Yang Agung semasa tenteranya menakluk Mesir.Iskandariah merupakan bandar yang cantik serta tersusun dan pernah menjadi ibu negara Mesir sebelum Kaherah.Para peserta dibawa mengunjungi muzium serta Qalàh(Kubu) Qaitbay yang berada di persisiran pantai.Kubu ini dibina untuk melindungi Mesir dari serngan angkatan laut Salib.Perjalanan diteruskan lagi ke makam wali Allah yang berada di masjid berdekatan.Antaranya ialah makam Syed Makinuddin Al-Asmar, Abu Abbas Said Al-Mursi yang berasal dari Andalus, Syed Yakut Al-Arasy iaitu anak murid Syed Abbas Said Al-Mursi yang diriwayatkan laungan azannya didengari sehingga ke arasy, makam Saidina Ali Zainal Abidin iaitu cicit Rasulullah SAW dari keturunan Saidina Ali Karamullah Wajhah, makam 12 wali dan banyak lagi.Setiap wali mempunyai karamah tersendiri yang dikurniakan oleh Allah dan di antaranya ialah bertemu Rasulullah SAW secara `Yaqazah`.Peserta juga dibawa ke makam Nabi Daniel AS dan Luqman Al-Hakim serta makam sahabat Nabi iaitu Abi Darda` r.a dengan menaiki `gonggok` iaitu kereta api elektrik di Iskandariah.
          Selepas itu, para peserta dibawa menuju ke Maktabah (perpustakaan) Iskandariah yang dicatatkan sebagai di antara perpustakaan yang terbesar di dunia.Perpustakaan ini menjadi tumpuan pelancong asing serta pelajar universiti.Perpustakaan ini menyimpan banyak buku bagi semua bidang serta artifak sejarah seperti mesin cetak lama, rekod catatan lama dan banyak lagi.Para peserta kemudiannya dibawa ke Masjid Syed Basyr dan seterusnya pulang ke Zagazig pada jam 7.00 malam dan tiba pada jam 10.20 malam.DPMZ berharap para peserta jaulah pada kali ini dapat mendapat pengalaman berharga serta menjadikan kisah para wali Allah sebagai pedoman buat diri sendiri.

0 comments:

Sahabat