Friday, May 13, 2011

Kalam Pengerusi DPMZ - Kempen Bulan Solat Inisiatif Memperkasa Biah Solehah

Posted by UPP DPMZ On 8:05 PM No comments


Assalamu’alaikum w.b.t.
Segala puji dan syukur kita panjatkan kepada Allah S.W.T. kerana telah mempertemukan kita dengan jalinan persaudaraan kerana Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah S.A.W. yang telah mewariskan kita selaut tanggungjawab perjuangan Islam yang tiada henti.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat” Surah Al-Hujuraat, ayat kesepuluh.


Bertepatan dengan usul yang telah disepakati untuk dilaksanakan pada sesi ini iaitu memperkasa ukhuwah dan tarbiyah di kalangan ahli, maka pihak DPMZ menyeru kepada semua untuk kita bersama-sama memainkan peranan dalam menjayakan misi ini. Kita selaku mahasiswa dan mahasiswi Islam yang menuntut ilmu Allah S.W.T. perlulah bijak dan matang dalam mendepani dan menilai isu-isu di sekeliling kita supaya menjadi mahasiswa yang berakhlak dan berfikiran sihat.

Sahabat-sahabat dirahmati Allah sekalian,

Bagi menghidup dan memperkasakan lagi biah solehah di bumi Zagazig, maka pihak DPMZ telah mengambil inisiatif untuk menjalankan ‘Kempen Bulan Solat’ sepanjang bulan Mei ini. Kempen ini juga sebagai salah satu tindakan dalam merealisasikan salah satu usul yang sedang dibawa pada sesi ini. Kempen Solat menjadi pilihan bagi bulan ini kerana kita yakin dan percaya bahawa titik tolak sesuatu perkara kepada individu muslim itu adalah bermula dengan solat. Sepertimana firman Allah dalam Surah Al-Ankabut, ayat 45 yang bermaksud “ Bacalah kitab Al-Quran yang telah diwahyukan kepadamu (Muhammad) dan laksanakanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. Dan mengingati Allah (solat) itu lebih besar (keutamaannya dari ibadah lain). Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan”.

Di kesempatan ini juga, pihak DPMZ ingin mengingatkan kepada semua ahli supaya lebih berhati-hati dan prihatin terhadap hal-hal berkaitan keselamatan dan salah laku sosial. Ini adalah berdasarkan laporan-laporan yang telah diterima dan keadaan keselamatan yang agak terdedah selepas berlakunya Revolusi 25 Januari. Hal ini sangat membimbangkan jika kita tidak mengambil perhatian dan bertindak. Melalui pertemuan-pertemuan yang telah dilakukan oleh kita bersama pihak keselamatan Mesir, kita diminta untuk lebih berhati-hati dan terus melaporkan sebarang kejadian yang berkaitan.

Akhir kata, semoga kita semua dapat mematuhi segala etika dan ketetapan yang telah digariskan oleh pihak DPMZ. Mudah-mudahan kita dapat menimba ilmu sebanyak-banyaknya di bumi Anbiya’ ini dalam keadaan aman dan dijauhkan dari segala masalah. Semoga kita juga dapat terus menjalin serta memperkukuh ukhuwah sesama kita. Salam imtihan.

‘KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH’
Muhamad Lokman B. Sulaiman,
Pengerusi Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig
Sesi 2010 / 2011.


0 comments:

Sahabat