ZAGAZIG, 27 Mei 2011 - Majlis Tautan Iman yang terakhir bagi Kempen Bulan Solat pada kali ini telah berjaya dilaksanakan dengan keterlibatan lebih ramai ahli yang dahagakan santapan rohani pada malam tersebut.
Seperti biasa, Majlis Tautan Iman dimulakan dengan qiamullail, diteruskan dengan solat Subuh berjemaah dan disambung dengan tazkirah senafas yang disampaikan oleh Saudara Muhamad Anas Bin Kamaruldin, Ketua Unit Dakwah Dan Pembangunan Insan DPMZ.
Di dalam tazkirah tersebut beliau menekankan tentang khusyuk dalam solat serta kepentingan solat-solat sunat sebagai penampung bagi solat fardhu yang kita kerjakan. Turut diceritakan kualiti khusyuk solat Rasulullah dan para sahabat berbanding solat kita pada hari ini yang amat jauh perbezaannya.
Beliau turut mengibaratkan solat fardhu umpama nasi putih dan solat-solat sunat sebagai lauk-pauknya. Tidak dinafikan dengan memakan nasi begitu sahaja sudah cukup menampung perut kita yang lapar. Namun lauk-pauk tersebutlah yang akan menambah selera dan kelazatan dalam kita menjamu selera.
Moga-moga dengan santapan rohani tersebut dapat terus menghidupkan hati-hati kita dalam melakukan dan menerima kebaikan. Di akhir majlis para hadirin dijamu dengan hidangan mi goreng sebagai santapan sarapan pagi.
Tekun...para hadirin memberi tumpuan kepada pengisian yang disampaikan
0 comments:
Post a Comment