Sunday, June 5, 2011

DPMZ Dan DPD-PPMI Zagazig Sepakat Terus Prihatin Isu Kebajikan Dan Keselamatan Ahli

Posted by UPP DPMZ On 6:44 PM No comments


ZAGAZIG, 31 Mei - Hubungan baik serantau antara mahasiswa Malaysia dan Indonesia terus diperkukuh melalui pertemuan dua hala di antara pihak DPMZ dan DPD-PPMI Zagazig bagi menandatangani surat perjanjian kesepakatan di antara kedua-dua negara hasil daripada perbincangan yang telah diadakan sebelum ini.

Bertempat di pejabat DPMZ, pihak Malaysia yang diketuai oleh Saudara Muhamad Lokman Bin Sulaiman selaku Pengerusi DPMZ sesi 2010/2011 bersama Ketua DPD-PPMI Zagazig, Saudara Saif Ramadhan Hasan Basri mewakili Indonesia telah mencapai kata sepakat untuk menandatangani surat perjanjian kesepakatan tersebut bagi memastikan keselesaan dan kebaikan seluruh komuniti Melayu di bumi Zagazig.


Perkara-perkara yang disepakati dalam perjanjian tersebut ialah seperti berikut:
1. Saling bertegur sapa dan memberi salam sesama mahasiswa.
2. Dilarang merokok di kawasan umum termasuk balkoni rumah.
3. Harga sewa bagi setiap rumah adalah tidak melebihi LE600.
4. Dilarang berbual mesra di antara siswa dan siswi atau melakukan perkara yang boleh menimbulkan fitnah.
5. Bertegur sapa tanpa urusan penting di antara siswa dan siswi adalah dilarang.
6. Dilarang berjalan berpasangan di antara siswa dan siswi yang bukan mahram.
7. Harga tambang bagi setiap teksi adalah tidak melebihi LE3 kecuali darurat (keperluan mendesak).
8. Pakaian siswi hendaklah menutup aurat, tidak terlalu ketat, tidak terlalu jarang serta tidak menjolok mata.
9. Siswi hendaklah menutup aurat ketika berada di balkoni.
10. Dilarang menjemur pakaian dalam di luar rumah.
11. Saling menghulurkan bantuan terutamanya terhadap masalah jenayah.

Hasil daripada persepakatan tersebut, kedua-dua pihak mengharapkan kerjasama yang menyeluruh daripada seluruh ahli untuk mematuhi dan mengikuti perkara-perkara yang tertera bagi menjamin kebaikan bersama.

Diharapkan agar hubungan baik yang terjalin melalui persepakatan tersebut akan memastikan kebajikan dan keselamatan seluruh ahli terus terjaga.



NOTIS - Item 3: Harga sewa bagi rumah-rumah sedia ada yang melebihi LE600, seperti yang diperbincangkan, telah mendapat pengecualian dan kelonggaran daripada kedua-dua pihak. Sebarang kemasukan ke rumah baru selepas ini wajib mematuhi ketetapan yang telah disepakati (tidak melebihi LE600). Namun, kedua-dua pihak sangat berharap agar rumah-rumah berkenaan dapat berpindah bagi memenuhi dan menghormati persepakatan ini demi kebaikan bersama. 

0 comments:

Sahabat