Wednesday, June 8, 2011

Usah Cemari Institusi Perkahwinan : Timbalan Pengerusi HEWI PMRAM

Posted by UPP DPMZ On 6:59 PM No comments

Dicatat oleh HEWI PMRAM


Perkahwinan merupakan satu saluran yang terbaik dalam mengaplikasikan cinta anugerah Allah sesama manusia. Ini kerana perkahwinan adalah platform yang dapat menyalurkan fitrah manusia sekaligus mengukuhkan pembinaan ketamadunan insan.

Oleh kerana yang demikian, matlamat ikatan perkahwinan bukan hanya sekadar bagi melampiaskan kehendak nafsu semata-mata bahkan tuntutan agama yang diwajibkan kepada umat Islam dalam proses menyempurnakan agama bagi setiap individu. Ia merupakan ibadah dan perlaksanaannya juga berlandaskan syara' dengan rujukan Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW.


Firman Allah SWT yang bermaksud :"Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah itu bahawa Dia jadikan bagi kamu pasangan hidup agar kamu mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan bersamanya. Kemudian Allah ciptakan di antara kamu berdua mawaddah dan rahmah." (Surah al-Rum, ayat 21)

Kualiti nilai modal insan juga bergantung kepada institusi keluarga yang bermula dengan perkahwinan. Sekiranya ianya goyah dengan dicampuri pelbagai versi kefahaman dan perlaksanaan yang bertentangan dengan syariat Islam maka sudah pasti misi dalam mempertingkatkan nilai modal insan juga akan terjejas.

Berikutan dengan kenyataan yang telah dikeluarkan di akhbar Berita Harian bertarikh 5 Jun 2011 oleh Dr. Rohaya Mohamed, Naib Presiden Kelab Isteri Taat yang bertajuk 'Layan macam pelacur', merupakan satu kenyataan yang kurang sopan apatah lagi ia melibatkan institusi rumahtangga.

Masahusma penggunaan perkataan "PELACUR KELAS PERTAMA" tersebut telah menggambarkan keadaan yang sebaliknya dalam hubungan perkahwinan dan istilah tersebut akan memberikan perspektif yang negatif kepada para pendengar mahupun pembaca, sekaligus akan mencemarkan pemikiran masyarakat awam tentang peranan seorang isteri dalam medan institusi kekeluargaan.

Islam meletakkan taraf dan martabat seseorang isteri itu amat tinggi nilainya dan sama sekali tidak boleh disamakan dengan istilah “pelacur”. Sandaran dua istilah, perkara dan keadaan yang berbeza tidak boleh disamakan dalam membuat suatu perbandingan dan juga penilaian.

Justeru, kepelbagaian fahaman dalam memahami matlamat perkahwinan boleh menyebabkan masyarakat akan memandang enteng matlamat dan fungsi sebenar sebuah ikatan perkahwinan. Kegagalan dalam memahami matlamatnya mengakibatkan pelbagai gejala yang tidak sihat berlaku dewasa ini.

HEWI PMRAM dengan ini menegaskan bahawa istilah "PELACUR KELAS PERTAMA" yang digunakan dalam kenyataan tersebut merupakan sebuah kenyataan yang menghina kesucian peranan wanita dalam rumahtangga.


NURAIN BINTI YAACOB
Timbalan Pengerusi
Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI)
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2011
Sumber : http://www.hewipmram55.blogspot.com/

0 comments:

Sahabat