Monday, August 15, 2011

Majlis Timbal Balik Tugasan AJKT - Satu Titik Mula Kepimpinan Baru Merealisasikan Impian DPMZ

Posted by UPP DPMZ On 2:28 AM No comments

PEJABAT DPMZ , DAR SALAM, 14 OGOS 2011, 10.00 MALAM - Jabatan Pengerusi DPMZ telah mengadakan Majlis Timbal Balik AJKT yang telah dihadiri oleh barisan kepimpinan baru DPMZ dan mantan AJKT pada sesi sebelumnya. Objektif majlis ini adalah untuk mengemaskini gerak kerja unit DPMZ pada sesi kali ini, meneguhkan ukhuwah sesama ahli kepimpinan dan mantan, serta memberikan informasi berguna kepada kepimpinan baru.

 Sesi penerangan gerak kerja AJKT daripada mantan AJKT 2010/2011

   Majlis ini telah dipengerusikan oleh Saudara Muhamad Zainullah b Mohd Pauzi selaku Pengerusi DPMZ bagi sesi 2011/2012. Mantan AJKT pada sesi lepas telah diberikan peluang untuk membentangkan muhasabah serta memberikan cadangan yang bernas bagi menyusun dan memperbaiki kualiti gerak kerja DPMZ pada sesi ini.



    Antara intipati penting yang dapat diambil daripada kata-kata aluan Pengerusi DPMZ 2011/2012 ialah "Setiap AJKT yang dilantik haruslah memberi komitmen yang terbaik dan sentiasa bersungguh-sungguh melaksanakan program untuk ahli." Ujar beliau lagi, seluruh barisan AJKT perlu sentiasa optimis dalam setiap gerak kerja dan dapat menjiwai setiap taklifan yang telah diberikan.

  khusyuk mendengar kalam-kalam taujihad daripada pengerusi DPMZ 2011/2012
         Majlis diteruskan lagi dengan agenda penyerahan fail gerak kerja kepada AJKT baru daripada mantan AJKT pada sesi lepas, dan disusuli dengan ucapan Penasihat 2 DPMZ, Saudara Solihuddin b. Mohd Jahar. Dalam ucapan tersebut beliau banyak memberikan nasihat kepada barisan kepimpinan baru supaya lebih cakna dan sentiasa menguasai isu semasa yang berlaku terutamanya di Mesir dan di tanah air. Selain itu, beliau turut berpesan kepada seluruh barisan kepimpinan agar menjalankan taklifan yang diberikan dengan sebaik mungkin supaya tiada kecacatan dapat dilihat kepada DPMZ pada sesi ini.

   Sesi penyerahan fail, bermulanya satu taklifan baru untuk kepimpinan 2011/2012
  Saudara Muhamad Zainullah, diberi kepercayaan untuk mengemudi bahtera DPMZ pada sesi ini.
      Majlis penutup timbal balik telah diserikan lagi dengan upacara memotong kek oleh semua barisan kepimpinan DPMZ pada sesi ini. Kek yang bertemakan "Tiada Noktah Dalam Perjuangan" itu sedikit sebanyak memberikan motivasi dan semangat buat semua barisan kepimpinan sesi ini supaya terus berusaha sebaik mungkin bagi meningkatkan lagi kualiti gerak kerja untuk ahli sepanjang sesi ini dan akan datang.

"Tiada noktah dalam perjuangan," sumber inspirasi buat semua kepimpinan DPMZ 2011/2012

0 comments:

Sahabat