Tuesday, August 16, 2011

MAT DPMZ 18 Mencapai Hadaf dan Sasaran

Posted by UPP DPMZ On 11:14 PM No comments

ZAGAZIG, 11 Ogos 2011 - Selepas hampir setahun DPMZ di bawah kepimpinan sesi 2010/2011 yang diketuai Saudara Muhamad Lokman Sulaiman selaku Pengerusi DPMZ, Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) DPMZ kali ke-18 telah diadakan pada 11 Ogos yang lalu dan telah menghangatkan Dewan Darul Wehdah. 

Program MAT 18 bermula dengan majlis perasmian yang telah dirasmikan oleh Saudara Mohd Solehuddin bin Mohd Safien selaku Naib Presiden II merangkap Ketua Lajnah Muhafazah PMRAM 2011.


Dalam ucapan beliau mengharapkan MAT pada kali ini menatijahkan hasil yang terbaik sebagai bekalan untuk sesi akan datang. Beliau turut menegaskan bahawa setiap muhasabah dan cadangan hanya akan berguna dengan tindakan susulan dan kombinasi daripada pimpinan dan seluruh ahli. Cukuplah umat yang hanya mencari kelemahan tetapi jadilah umat yang bekerja.

Gimik perasmian disempunakan oleh beliau diiringi Saudara Muhamad Lokman Bin Sulaiman selaku Pengerusi DPMZ 2010/2011 bersama Saudara Zul Haiqal A. Rahim selaku Pengarah MAT pada kali ini dengan melepaskan ikan dari dalam plastik ke dalam akuarium sebagai simbolik kebebasan bersuara seluruh ahli sidang mesyuarat yang hadir.

Sesi pagi bermula dengan pembentangan laporan gerak kerja setiap unit serta persoalan, muhasabah dan cadangan daripada seluruh ahli yang hadir. Pelbagai kritikan dan idea telah dilontarkan oleh ahli termasuk ahli yang baru kepada pimpinan bagi memperbaiki dan memperkemas lagi gerak kerja pada sesi akan datang.

Selepas berhenti rehat seketika, sidang mesyuarat sesi petang semakin hangat dengan pembentangan dan pembahasan usul bagi dilaksanakan oleh seluruh ahli DPMZ sesi hadapan. Justeru, 2 usul yang telah dipersetujui oleh seluruh sidang mesyuarat yang hadir ialah “Membudayakan fikrah amal Islami dalam mendidik ahli DPMZ untuk membudayakan biah solehah yang mengikut syari’at di bumi Zagazig“ dan “DPMZ bersama-sama PMRAM seiring dalam mendepani isu-isu yang berkaitan mahasiswa”.

Diharapkan kedua-dua usul ini dapat dilaksanakan dengan baik pada sesi yang akan datang. Seluruh ahli telah memberikan respon yang baik kepada kedua-dua usul tersebut. Selesai usul ini dibincangkan, tiba MAT pada kali ini ke ucapan penangguhan dan pembubaran bagi pimpinan DPMZ Sesi 2009/2010 bagi menandakan berakhirnya kepimpinan bagi sesi tersebut.
       
Kemudian, majlis diambil alih oleh pihak SPR 2011 bagi agenda seterusnya, iaitu sesi penamaan calon-calon yang bakal memegang tampuk kepimpinan DPMZ bagi sesi 2010/2011 seterusnya mengadakan sesi taa’ruf bagi calon-calon tersebut. Di akhir sesi tersebut, Saudara Muhammad Zainullah Muhamad Pauzi sebagai Pengerusi DPMZ yang baru sempat menyampaikan sedikit ucapan yang berkisar harapan kepada semua ahli agar dapat memberikan kerjasama dan kepercayaan yang sepenuhnya kepada pimpinan yang baru serta berharap agar Islam akan terus tertegak di bumi Zagazig  yang kita cintai ini.

Seterusnya majlis diteruskan dengan penyampaian anugerah dan sijil penghargaan kepada seluruh ahli yang telah berjasa dengan membantu melicinkan lagi perjalanan program DPMZ sepanjang sesi 2010/2011. Antara anugerah yang disampaikan ialah Ikon Muda, Ikon Kepimpinan, Anugerah Emas dan Ikon Lagenda. 

Majlis berakhir dengan kalam penutupan yang disampaikan oleh Saudara Zulhafeez Ahmad Zahidi yang turut hadir bersama Saudara Ibrahim Ani selaku Badan Pengurus (BP) Angkat PMRAM Cawangan Zagazig.

Sekalung ucapan terima kasih diucapkan kepada seluruh ahli kerana telah menjayakan MAT kita pada sesi ini. Semoga pimpinan yang baru ini dapat meneruskan usaha untuk membawa dan menyebarkan wadah Islam di bumi Zagazig dengan penuh komited serta mendapat kerjasama dari semua ahli. 

Suasana di sekitar MAT 18...








0 comments:

Sahabat