Sunday, August 21, 2011

Pengurusan Lewat Pegawai Kedutaan Punca Masalah Dokumen Pengajian Tertangguh

Posted by UPP DPMZ On 10:00 PM No comments



KAHERAH, 21 Ogos - Isu mahasiswa Perubatan Tanta yang tidak dapat  memasuki peperiksaan  dilaporkan kerana masalah dokumen pengajian yang tidak sampai ke pihak Universiti Tanta.



Menurut laporan yang diterima oleh pihak PMRAM daripada wakil Perubatan Cawangan Tanta bahawa dokumen pengajian bagi Saudara Muhammad Alif Sofian Gan tidak sampai ke pihak Universiti sejak kehadiran mangsa ke sini sehingga pada 11 Jun yang akhirnya menyebabkan mangsa tidak layak untuk menduduki peperiksaan akhir tahun.


PMRAM dimaklumkan bahawa sejak Mei yang lalu wakil Perubatan Cawangan Tanta telah pun bertemu dengan Pegawai EM yang bertanggungjawab dalam menyelesaikan isu ini, iaitu En Khairi Jalalludin untuk turun ke Universiti Tanta bagi menyelesaikan kes ini.

Namun, tiada respon yang baik daripada En Khairi Jalalludin mengenai permintaan yang dibuat untuk turun ke Tanta.

Bahkan, lebih menyedihkan apabila wakil Perubatan Cawangan Tanta sudah bertemu lebih daripada sekali dengan En Khairi Jalalludin untuk menyatakan betapa pentingnya kehadiran beliau ke Universiti Tanta dalam menyelesaikan kes ini.

Hasilnya, masalah dokumen pengajian mangsa terus tergantung dan tidak diselesaikan di peringkat Universiti Tanta.

Yang terkini, kunjungan kali pertama telah dilakukan oleh En Khairi Jalalludin ke universiti pada Sabtu, 13 Ogos 2011 dan kemudian kunjungan kali kedua pada Rabu, 17 Ogos 2011 namun masalah yang menimpa Saudara Muhammad Alif bin Sofian Gan masih menemui jalan buntu.Ia ekoran kelewatan kehadiran En Khairi Jalalludin untuk turun ke pihak universiti.

"PMRAM kesal dengan sikap tidak bersungguh yang ditunjukkan oleh beliau (En Khairi Jalalludin) dalam menyelesaikan kes ini. Mengikut laporan, permintaan untuk beliau turun ke Tanta sudah dilakukan sejak bulan Mei lalu, namun kenapa selepas 3 bulan baru beliau turun ke Tanta untuk berjumpa dengan pihak universiti?" ujar Presiden PMRAM yang mempersoalkan sikap En Khairi Jalalludin.

"Kita yakin sekiranya beliau turun lebih awal iaitu sebelum 11 Ogos, kemungkinan tidak berlaku kes seperti ini. Hasil sikap tidak bersungguh yang ditunjukkan oleh beliau, kes ini semakin rumit bahkan seakan-akan buntu," tambah beliau lagi.

Sekiranya masalah dokumen pengajian mangsa tidak selesai sehingga akhir peperiksaan akhir semester kedua ini, mangsa terpaksa mengulang tahun pengajian pada tahun hadapan.

Sumber Berita: PMRAM

0 comments:

Sahabat