Friday, October 21, 2011

Gerbang Ke Kuliah Dibuka, Visi & Misi Diperhebatkan Demi Mengungguli Kreadibiliti Seorang Mahasiswa Islam.

Posted by UPP DPMZ On 1:07 AM No comments



                                 Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

 Setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan kepada kepada Allah SWT atas kurniaan Iman dan Islam serta peluang dalam melaksanakan tugas selaku hamba , selawat dan salam buat Junjungan Besar   Baginda SAW sebagai ikutan dan tauladan ummat sepanjang zaman , dan kaum kerabat serta para sahabat yang bersama-sama dalam medan perjuangan Islam yang penuh dengan cabaran serta mehnah dan tribulasi yang mendatang.


      Firman Allah SWT di dalam Surah At-Taubah ayat 122 yang bermaksud : “ Dan tidaklah orang-orang mukmin adalah sepatutnya untuk berangkat ( berjihad ) keseluruhan maka mengapakah tidak berangkat dari masing-masing golongan dari mereka sekelompok untuk memperdalam tentang agama dan agar mereka memperingatkan kaum mereka apabila mereka kembali agar mereka dapat menjaga diri “.

Hakikat kepada ayat Allah SWT itu , bahawasanya , diantara sebab kepada penurunan ayat ini sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Ikrimah , beliau berkata , “tatkala turun ayat 38-39 dari surah ini yang berisi izin dari Allah kepada kaum muslimin untuk berperang , kaum mukminin bergegas dan bersemangat keluar berperang sehingga meninggalkan beberapa kelompok orang yang sedang mengajarkan agama kepada kaum arab di pedalaman.

      Lalu orang munafik berkata sungguh orang-orang yang berada di lembah pedalaman itu telah tertinggal dari kewajiban. ‘Celakalah mereka!’ Lalu turunlah ayat 122 ini. Oleh hal yang demikian ,Islam memandang tinggi akan golongan berilmu dalam konteks pembangunan masyarakat. Imam Yusof Al-Qardawi  berpesan di dalam salah satu risalahnya iaitu ilmu adalah suatu kemuliaan yang perlu dituntut oleh muslim dan ia merupakan satu tanggungan dan akan dipersoal oleh Allah SWT. 

Sehubungan dengan itu , bersempena dengan sesi pengajian yang baru iaitu sesi 2011/2012 bersama-samalah kita berazam untuk meningkatkan tahap  prestasi pencapaian dalam sektor pembelajaran khususnya di kuliah sama ada pengajian Islam mahupun sains kesihatan dalam melahirkan seorang individu muslim sejati yang bukan sahaja cemerlang dari aspek pendidikan kuliah bahkan mampu melahirkan seorang pemuda dan pemudi yang berkemampuan menyelesaikan segala kekeliruan , permasalahan dan konflik yang berlaku dalam masyarakat. Mahasiswa adalah teras kepada kebangkitan abad ini.

      Keperibadian mahasiswa seharusnya cemerlang dengan pengertian mereka adalah golongan yang beriman dan beramal. Keperibadian yang kukuh akan melonjakkan jati diri mahasiswa itu dalam memacu kebangkitan  pada abad ini. Dengan wujudnya peribadi yang cemerlang , generasi mahasiswa pasti bersedia pada bila-bila masa untuk terlibat dalam hal ehwal kemasyarakatan dan mengambil bahagian dalam membuat keputusan.

Oleh hal yang demikian , mahasiswa mestilah  dibekalkan ilmu , maklumat tepat mengenai realiti sosial , ekonomi , dan politik semasa untuk menggambarkan betapa perlunya tenaga dan idea golongan mahasiswa dalam memacu pembangunan ummah. 

          Saidina Ali Karramalluwajhah telah berkata : “ Barang siapa yang mahu menguasai dunia maka mestilah ia memiliki ilmu dan barang siapa yang mahu menguasai akhirat maka mestilah ia memiliki ilmu dan barang siapa yang mahu menguasai kedua-duanya maka mestilah memiliki ilmu “. Jadi , jika peranan universiti pertama iaitu medan mencari ilmu dan pengetahuan serta  universiti kedua iaitu medan dalam menjalankan kerja-kerja dakwah dan pembaikan  tidak dikesampingkan kelak kita akan menyaksikan kebangkitan mahasiswa  mengorak langkah perubahan dalam pembangunan ummah. 

          Naluri generasi mahasiswa yang berdaya juang dan berdaya tahan telah meletakkan ia sebagai unsur utama mencetus gelombang perubahan pembangunan ummah malah generasi mahasiswa jugalah yang menunjangi gerakkerja dakwah para Rasul A.S , menggalas misi pengislahan ummah.

  Sebagai kesimpulannya , kita mestilah menyedari hakikat  bahawasanya kita adalah pembawa obor mahasiswa harapan , tergalas satu bebanan dan tanggungjawab yang sangat berat , kewajipan yang melimpah ruah , matlamat dan tujuan yang berpanjangan , suatu perjalanan yang jauh , ujian yang penuh ranjau berduri serta dipenuhi dengan kepayahan dan kepedihan. 

        Maka , tidak dapat tidak persediaan yang rapi dan kesungguhan yang jitu untuk memperlengkapkan diri dalam merealisasikan misi ini. Renungkanlah terhadap apa yang telah diwasiatkan oleh As-Syahid Imam Hassan Al-Banna : “ Wahai saudaraku , janganlah engkau berputus asa kerana putus asa bukan akhlak seorang muslim , ketahuilah bahawa kenyataan hari ini adalah impian kelmarin dan impian hari ini kenyataan hari esok. 

      Waktu masih panjang dan hasrat akan terwujudnya kedamaian masih tertanam dalam jiwa masyarakat kita , meski fenomena kerosakan dan kemaksiatan menghantui mereka. Yang lemah tidak akan lemah sepanjang hidupnya , dan yang kuat tidak akan selamanya kuat”. 

0 comments:

Sahabat