Saturday, February 16, 2013

Perasmian Zagazig Malaysian Student's Hall

Posted by UPP DPMZ On 8:07 PM No comments



ZAGAZIG, 13 Feb – Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig di bawah Jabatan Pengerusi telah menganjurkan perasmian dewan baru buat mahasiswa di Zagazig. Majlis perasmian bermula pada pukul 8.30 malam di dewan baru yang dinamakan sebagai Zagazig Malaysian Students’ Hall. Majlis perasmian bermula sejurus dari tamatnya pengajian daurah Risalah Fikriyyah yang telah diadakan selama dua hari bermula pada hari sebelumnya.
Majlis dimulakan dengan ucapan oleh Pengerusi PERUBATAN Cawangan Zagazig sesi 2012/2013, Saudara Abd Hakim Bin Muhd Suhimin dan Pengerusi Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig sesi 2012/2013. Dalam ucapan Pengerusi PCZ, beliau mengingatkan hadirin tentang komuniti Zagazig yang unik kerana akrabnya hubungan antara mahasiswa Pengajian Sains Kesihatan dan Pengajian Islam. Manakala dalam ucapan pengerusi DPMZ, beliau mengucapkan rasa syukur kerana akhirnya dapat menyediakan sebuah dewan yang besar untuk menganjurkan program bagi komuniti pelajar Malaysia di Negeri Sharqiyyah ini.


Kemudian, Majlis diteruskan dengan ucapan oleh dua orang presiden iaitu Saudara Wan Ahmad Hafizi Bin Wan Junaidi, Presiden Persatuan Pelajar-Pelajar Malaysia PERUBATAN (PERUBATAN) 2012 dan Saudara Abd Aziz Bin Ali Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) 2012. Menurut Presiden PERUBATAN, kesatuan yang terbina antara Pengajian Islam dan Pengajian Sains Kesihatan di bumi Zagazig telah menarik minat beliau dan beliau juga menekankan tentang bahana kemunculan Masjid Dhirar seperti di Zaman Rasulullah SAW. Manakala Presiden PMRAM pula menyampaikan rasa kagum beliau terhadap gerak kerja ukhuwah, tarbiah dan dakwah Mahasiswa Malaysia di Zagazig ini yang sentiasa istiqamah dan berharap dapat dikekalkan hingga di Malaysia kelak.


Seterusnya, majlis diteruskan dengan perasmian bersama oleh kedua-dua Presiden dengan menandatangani Plak Perasmian dan pemotongan kek. Majlis diakhiri dengan tayangan video kronologi pusat aktiviti mahasiswa Malaysia di Zagazig dan sedikit jamuan ringan pada jam 10.30 malam.

0 comments:

Sahabat