Thursday, July 2, 2009

Kejohanan Bola Tampar Piala Exco 2009 Mencapai Hadaf Program

Posted by UPP DPMZ On 9:53 PM No comments


Pada 27 Jun 2009, Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig di bawah anjuran Unit Kebudayaan Kesenian dan Sukan telah mengadakan Kejohanan Bola Tampar (Piala Exco) bertempat di Istad Syarqiah bertemakan “Bola Ditampar, Ukhuwah Dibina”. Kejohanan ini telah disertai sebanyak 6 buah pasukan iaitu 5 pasukan daripada setiap KAMSIS (Mauqif Tanta, Mauqif Mansurah, Salam, Kafr Zend, Qaumiah) dan 1 pasukan daripada barisan Ahli Jawatan Kuasa Tadbir DPMZ.

Acara Pembukaan telah berlangsung pada jam 7.00 pagi, bermula dengan ucapan Pengarah program iaitu Sdr Hirzi B. Bisman, Kejohanan diteruskan lagi dengan sedikit ucapan daripada Pengerusi Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig, Ust Mohd Faizzudin B. Ghazali. Kejohanan telah dirasmikan oleh Naib Presiden II PMRAM merangkap Ketua Lajnah Muhafazah PMRAM, Ustaz Nik Rosdi B. Nik Jusoh. Di dalam ucapannya, beliau menyentuh mengenai kepentingan dalam menjaga dan memupuk ukhuwah sesama peserta dan kepentingan aktiviti riadhah dalam membantu pembinaan jasmani yang cergas selaras dengan kehendak Al-Quran dan As-Sunnah.

Perlawanan pembukaan telah bermula pada jam 7.45 pagi dengan pertemuan sengit di antara pasukan AJKT dan Salam yang akhirnya dimenangi oleh pasukan Salam dengan keputusan 2-1. Perlawanan telah dijalankan secara liga selama 6 jam di mana perlawanan penutup telah menemukan pasukan Salam dan Kafr Zend dengan keputusan Salam-2, Kafr Zend-0.

Acara penutup telah disempurnakan oleh Ust Nik Rosdi B. Nik Jusoh (Naib Presiden II PMRAM) dengan menyampaikan hadiah kepada KAMSIS Mauqif Mansurah yang telah menjadi juara bagi Kejohanan ini, bagi tempat kedua pula telah dimenangi oleh KAMSIS Salam, seterusnya bagi tempat ketiga KAMSIS Kafr Zend, tempat keempat Pasukan AJKT, tempat kelima KAMSIS Mauqif Tanta dan tempat terakhir KAMSIS Qaumiah.

Hadaf DPMZ dalam memperkasa ukhuwah di kalangan ahli dilihat telah berjaya dilaksanakan dalam Kejohanan ini apabila melihat ahli-ahli daripada kuliah Perubatan mahupun Pengajian Islam dapat berkumpul pada hari tersebut tidak mengira umur dan taraf hidup. Kejohanan ini juga dilihat berjaya menunjukkan komitmen ahli terhadap program-program DPMZ dan kebolehan ahli daripada pelbagai sudut. Semoga Kejohanan seperti ini dapat dilaksanakan lagi pada tahun-tahun mendatang serta komitmen di kalangan ahli juga diharap dapat dipertingkatkan.

Pihak DPMZ mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pengarah program, Sdr Hirzi B. Bisman serta seluruh AJK Pelaksana, dan juga para peserta kerana bersama-sama dalam menjayakan Kejohanan Bola Tampar (Piala Exco) 2009 buat kali pertama. Semoga ukhuwah ini tersemat di dalam memori ingatan bersama.

0 comments:

Sahabat