Wednesday, May 18, 2011

Nakbah Palestin : Memori Ratapan Derita Rakyat Palestin

Posted by UPP DPMZ On 1:04 AM No comments


 Nakba Palestin..... memori ratapan umat tertindas

Nakba Palestin dan gerakan Zionisme

Tanggal 15 Mei 1948 merupakan tarikh malang bagi umat Islam Palestin apabila seramai 700,000 orang diusir dari tanah mereka sendiri. Tarikh ini juga merupakan saat penting bagi gerakan Zionis apabila mereka akhirnya berjaya mengisytiharkan penubuhan negara Israel yang telah dirancang penubuhannya pada 1897 di Muktamar Zionis kali pertama yang diadakan di Bern, Switzerland. Pada muktamar tersebut, pengasas Zionis Theodor Hertzl telah mengumumkan misi dan visi gerakan Zionis Antarabangsa. Antara perkara yang diumumkan ialah “Protokol Zionis” dan “Rancangan 100 Tahun”.
Di dalam rancangan 100 tahun menyatakan 2 fasa iaitu pada fasa pertama gerakan Zionis mesti menguasai tanah Palestin dan menubuhkan sebuah negara Israel dalam masa 50 tahun. Fasa kedua ialah gerakan Zionis menguasai dunia dalam masa 50 tahun seterusnya. Sungguh hebat sekali gerakan Zionis membuat perancangan 100 tahun dan setiap perancangan berjaya mencapai matlamat sedangkan umat Islam masih lagi mencari identiti dan gagal merancang untuk kemajuan umat. Kalimah “Nakba Palestin” bermakna kemalangan atau bencana besar buat rakyat Palestin. Istilah ini buat kali pertamanya digunakan oleh seorang penulis Syria Constantine Zureiq di dalam penulisannya berbahasa Inggeris pada 1956 iaitu Ma`na al-Nakba atau Makna Nakba .


Mandat Bristish di Palestin

Palestin sebelum pendudukan British merupakan sebuah jajahan Empayar Islam Uthmaniah. Di bawah naungan Islam, rakyat Palestin hidup aman damai tanpa sebarang kekacauan. Akan tetapi, Perang Dunia Pertama meletus dan Empayar Uthmaniyah kalah serta ibu kotanya Istanbul berjaya ditawan British. Lalu, bermulalah kisah malang sebuah bangsa di tempat suci umat Islam ketiga. British menduduki Palestin pada 1917 dan mengumumkan pemerintahannya yang dinamakan “Mandat British Palestin”. Jeneral Edmund Allenby yang menawan Palestin berkata “Perang Salib telah tamat”. British kemudiannya mengumumkan Deklarasi Balfour pada 2 November 1917 yang memberi jaminan sebuah negara untuk orang Yahudi. Semenjak itu, ramai pendatang Yahudi dari seluruh dunia terutamanya Eropah dan Russia mula membanjiri tanah Palestin. Mereka juga membeli tanah daripada penduduk tempatan.
                                             
Plan Pengasingan PBB (UN Partition Plan) 1947

Menurut laporan Badan Penyelidik Antarabangsa  Palestin (UNSCOP) milik PBB telah menyatakan ketidakadilan bagi pihak Palestin untuk membahagikan tanah mereka kepada dua buah Negara bersaingan. Namun, usaha itu hanya sia-sia apabila pada tanggal 29 november 1947, PBB yang bertopengkan manusia tetap mengeluarkan sidang pleno PBB dengan meluluskan ‘ ketetapan 181 ‘. Sebagai akibatnya, 2/3 tanah Palestin secara sahnya telah dibahagikan kepada pendatang yahudi serta bakinya 1/3 keluasan tanah, diberikan kepada penduduk Palestin yang sah. Sekali lagi berlaku ketidak adilan apabila penduduk Palestin dinafikan hak mereka untuk bersuara. Mereka tidak langsung diminta pendapat serta keizinan malah sebaliknya, penindasan serta kezaliman makin bermaharajalela.

Perang Saudara Mandat British Palestin 1947-1948

Palestin seterusnya terjebak di dalam kancah perang apabila kumpulan pengganas Yahudi iaitu Irgun, Haganah, Lehi, Palmach dan Mahal memulakan serangan terhadap rakyat Palestin. Kumpulan pengganas Yahudi dibiayai dan disokong oleh Amerika Syarikat, British dan Kesatuan Soviet. Pasukan sukarelawan Arab yang dipimpin oleh Abdul Qadir Al-Husayni dan Fawzi Al-Qawuji cuba menentang dan menahan asakan pengganas Yahudi akan tetapi tidak berjaya. Setelah pengganas Yahudi memenangi perang ini, David Ben Gurion mengumumkan penubuhan negara Israel pada 15 Mei 1948 dan seluruh rakyat Palestin diusir dari tanah sendiri. Ramai rakyat Palestin terbunuh dalam perang ini. Antara peristiwa yang menyayat hati ialah pembunuhan beramai-ramai di Deir Yassin yang menyaksikan 200 orang kebanyakannya orang awam dibunuh. Rakyat Palestin kemudiannya lari ke Lubnan, Syria dan Jordan. Khemah rakyat Palestin masih berdiri kukuh lagi walaupun 63 tahun telah berlalu. Rakyat Palestin yang dihalau dari tanah sendiri masih lagi menyimpan geran tanah mereka dan masih berkeyakinan bahawa generasi masa hadapan akan kembali semula ke Palestin.

Respons negara Arab

Negara-negara Arab cuba membalas dengan mengumpulkan kekuatan tentera dari Syria, Jordan, Mesir, Sudan, Lubnan, Iraq, Arab Saudi dan Yaman. Selain itu, terdapat juga kumpulan penentang lain seperti Tentera Perang Suci (Palestin), Tentera Pembebasan Arab dan Ikhwan Muslimin akan tetapi negara Arab kemudiannya telah mengarahkan kumpulan tersebut untuk menyerahkan senjata dan meninggalkan medan perang. Tentera negara Arab yang turun ke medan perang tidak diisi dengan roh Islam dan jihad menyebabkan tentera Israel dengan mudah mengalahkan dan berjaya membunuh hampir 15,000 tentera Arab. Tentera Israel lebih takut kepada pejuang Islam seperti Ikhwan Muslimin dan rakyat Palestin. Perancangan musuh juga labih teliti apabila hampir dua pertiga pegawai tinggi tentera Arab terdiri daripada pegawai British seperti John Baggot Glubb dan Norman Lash dan juga negara Arab lain menyebabkan tentera Arab gagal menewaskan Israel.

Kekalahan pengajaran buat umat Islam

Nakba Palestin merupakan satu iktibar dan pengajaran buat umat Islam untuk menentang musuh-musuh Islam yang jauh lebih hebat dari segi persenjataan dan perancangan. Umat Islam mesti bersungguh-sungguh dan bersatu padu untuk menentang musuh Islam yang kini sudah menjajah bumi Palestin. Kita mestilah memerangi Israel dan sekutu-sekutunya supaya Palestin dapat dibebaskan daripada cengkaman kezaliman. Semoga rakyat Palestin mendapat kembali hak mereka.

Hidup mulia mati syahid..... sukarelawan Arab sedang dalam perjalanan ke medan perang                             

Abdul Qadir Al-Husayni..... syahid dalam pertempuran

Serangan mortar..... Tentera Pertahanan Israel(IDF) sedang melancarkan serangan ke arah tentera negara Arab 

Lari..... rakyat Palestin keluar dari tanah sendiri sehelai sepinggang sahaja

Daif..... pemandangan dari sebuah khemah pelarian Palestin 1948

Kunci.... simbol pembebasan tanah Palestin

Derita..... ibu sedang memikirkan masa depan anak-anaknya dalam pelarian

Jalur kemenangan..... tentera Israel memacakkan bendera Israel di Eilat yang bersempadan dengan Mesir dan Jordan tanda kemenangan perang 1948

Mara..... konvoi tentera pembebasan Arab sedang menuju ke Baitulmaqdis

Semakin terjajah...... rajah menunjukkan pemilikan tanah Palestin oleh Yahudi dan Islam dari 1946 sehingga 2000

Nahr el-barid...... sebuah lagi kem pelarian Palestin

Jahanam Israel..... rakyat Palestin berdemonstrasi di Beitlehm sempena Nakba Palestin

Sedih..... raut wajah seorang warga emas apabila terpaksa lari dari tanah air sendiri

"Kita akan pasti kembalikan Palestin"...... slogan yang tertera pada sepanduk anak kecil ini

Pilu...... anak kecil ini tidak pernah menjejakkan kaki ke Palestin lagi sejak dihalau

Pelan jahat..... rajah menunjukkan Pelan Pengasingan PBB 1948 yang jelas memihak kepada Yahudi

0 comments:

Sahabat