Monday, January 30, 2012

ISLAM AGAMA YANG MEMENTINGKAN NASIHAT DAN PERINGATAN.

Posted by UPP DPMZ On 2:11 PM No comments




Nasihat dan peringatan merupakan dua elemen yang besar dan sangat penting bagi kita meninggikan atau menegakkan kebenaran dan memansuhkan kebatilan. Peranan untuk menegakkan dan meninggikan nasihat serta peringatan adalah menjadi tanggungjawab semua peringkat dan lapisan khususnya para pemuda-pemudi yang akan menjadi “Rijal At-Taghyir” atau agen perubah kepada masyarakat. 

Jadi adalah menjadi suatu perkara yang perlu dititikberatkan oleh semua lapisan supaya hadaf dan tujuan islam disebarkan salah satunya adalah untuk membentuk suatu keadaan dan suasana yang tenteram. 

Apa yang paling penting ialah untuk kita mendalami dan meneliti islam itu secara menyeluruh kerana banyak perkara-perkara yang tiada kaitan dengan agama yang telah ditokok tambah dan perkara-perkara yang berkaitan dengan agama yang mana agama membenarkannya untuk kita beramal telah diselewengkan oleh anasir-anasir yang ingin melihat umat islam dalam keadaan berpecah-belah dan huru-hara. 

Bagaimana kita ingin menyebarkan islam dan menyatakan kesyumulannya  kepada masyarakat sekeliling jikalau kita tiada kefahaman yang sahih berkenaan agama islam. Allah S.W.T berfirman di dalam firmanNya: “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam agama islam itu secara menyeluruh dan janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan, sesungguhnya bagi kamu itu musuh yang nyata”.(Al-Baqarah : 208) 
Firman Allah S.W.T jelas menunjukkan akan kewajipan kita untuk mengenali dan mempelajari islam secara menyeluruh serta kewajipan untuk memahaminya secara sahih bukan dengan cara kita mengambil islam itu hanya beberapa peringkat sahaja.

 Maka ajaran islam adalah yang terbaik dan diredhai Allah untuk kita sampaikan dan untuk kita sebarkan samada ia berbentuk secara nasihat mahupun peringatan itu sendiri. Rasulullah S.A.W bersabda di dalam satu hadis Baginda yang berbunyi : “Agama itu adalah nasihat. Para sahabat bertanya: “Untuk siapa? Sabda Rasulullah S.A.W. : Untuk Allah S.W.T , untuk kitab-Nya , untuk Rasul-Nya , untuk para pemimpin dan seluruh umat islam ”. Hadis Sahih riwayat Imam Muslim dalam kitab Al-Iman.

Hadis ini dikategorikan sebagai jawamiul kalim ( ungkapan yang ringkas tetapi mengandungi makna yang padat ). Nasihat untuk Allah S.W.T ialah dengan beriman kepada Allah dan menolak syirik terhadap-Nya serta tidak mengingkari sifat-sifat-Nya. Juga menyifatkan-Nya dengan sifat-sifat kesempurnaan , ketinggian , dan mensucikan-Nya daripada segala kekurangan.

Begitu juga dengan ikhlas beribadat kepada-Nya , melakukan ketaatan , menjauhkan maksiat , kasih dan marah hanya kerana Allah semata-mata , member wala’ kepada sesiapa yang mentaati Allah dan menentang sesiapa yang mengingkarinya. 

Iltizam seorang muslim terhadap perbuatan serta percakapannya akan member suatu yang manfaat yang berguna kepadanya kerana Allah S.W.T tidak berhajat kepada sebarang an-nasihah daripada sesiapapun. Nasihat untuk kitab Allah S.W.T iaitu dengan beriman kepada kitab-kitab samawi kesemuanya yang diturunkan oleh Allah S.W.T. Selain daripada itu, kita mestilah melaksanakan segala tuntutan yang telah ditetapkan oleh kitab Allah S.W.T tidak kiralah dalam apa jua aspek dan perkara. 

Beriman bahawa al-quran adalah penutup kepada semua kitab-kitab samawi dan ia merupakan kalam Allah yang peuh hikmat dan mukjizat, bahkan Allah S.W.T telah menjamin didalam firman-Nya bahawa al-quran akan dijaga dan dipelihara daripada segala bentuk penyelewengan : “ Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-quran dan sesungguhnya kamilah yang akan memeliharanya”.( Al-Hijr : 9 ) Ada 3 perkara yang boleh kita katakan an-nasihah untuk kitab Allah S.W.T iaitu :

a) Membaca dan menghafalnya kerana membaca akan menghasilkan pengetahuan dalam sesuatu bidang yang ingin kita kuasai. Al-quran boleh menghasilkan pengetahuan, pembersihan jiwa, kesucian hati dan sebagainya. Imam Muslim telah meriwayatkan hadis daripada Rasulullah S.A.W : Bacalah al-quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari akhirat sebagai syafaat kepada pembacanya”.

b) Mengamalkan isi kandungan al-quran dan inilah merupakan kewajipan yang wajib dilakukan setiap lapisan iaitu bukan sahaja kita membaca dan menghafal bahkan perlu untuk kita memahami dan mengkaji segala isi kandungan al-quran.


c) Menyampaikan kepada generasi muslim. Imam Bukhari telah meriwayatkan hadis daripada Rasulullah S.A.W : “Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari al-quran dan mengajarkannya”.
Nasihat dari Rasulullah S.A.W ialah dengan membenarkan risalahnya, beriman dengan
semua perkara yang didatangkan oleh al-quran dan as-sunnah. Begitu juga dengan mencintai dan mentaatinya. Mengasihi Rasulullah S.A.W adalah sama seperti mengasihi Allah S.W.T. 

Firman Allah S.W.T: “ Katakanlah jika sekiranya kamu mencintai Allah S.W.T maka ikutilah aku”.( Aali-Imran :31 ) Ketaatan kepada Rasulullah S.A.W juga merupakan ketaatan kepada Allah S.W.T, firman Allah S.W.T : “Sesiapa yang taat Rasulullah S.A.W maka sesungguhnya dia telah taat Allah S.W.T. ( An-Nisaa : 80 ). An-nasihah untuk Rasulullah S.A.W selepas kewafatan Baginda ialah sentiasa beriltizam dengan sunnah Baginda serta mengkaji sirah-sirah perjalanan hidup dan dakwah Rasulullah S.A.W serta berakhlak dengan akhlak dan adab-adabnya dan juga senantiasa basahkan lidah dengan selawat dan salam ke atas Baginda S.A.W. 

Kategori an-nasihah yang seterusnya ialah an-nasihah untuk para pemimpin. Yang dimaksudkan dengan pemimpin ialah mereka yang telah ditaklifkan dan dipertanggungjawabkan oleh rakyat untuk memimpin mereka.

 Juga termasuk dalam kategori pemimpin ialah para ‘alim ulama’ dan golongan yang mengislahkan masyarakat, maka wajib untuk melantik pemimpin dikalangan golongan muslimin supaya ketaatan menjadi wajib ke atas mereka. Firman Allah S.W.T : ‘Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul serta pemimpin dikalangan kamu.” (An-nisaa’ :59). 

An-nasihah untuk para pemimpin ialah dengan kita mentaati dan patuh segala keadilan yang dilakukan oleh mereka, bukan dengan sebab kita mentaati mereka atas dasar kepentingan peribadi dan habuan dunia yang akan diterima, bahkan taatilah mereka selagi mana pemerintahan mereka berlandaskan al-quran dan as-sunnah, selagi mana pemerintahan dan kepimpinan mereka menatijahkan kesatuan ummah dan menghapuskan perpecahan, itulah kepimpinan dan pemerintahan yang sebenar. 

Kita juga perlulah memberi suatu teguran yang lembut dan penuh hikmat kepada pemimpin. Sesungguhnya sesuatu kaum itu akan menjadi binasa dan tidak ada kebaikan jika tidak menasihati para pemimpin yang zalim dan begitulah juga apabila terdapat pemimpin yang menghina dan membenci serta mengunci mulut-mulut mereka yang memberi suatu teguran
terhadap mereka yang mana kepimpinan sebegini akan menuju kepada suatu zaman kebinasaan dan kemurkaan Allah S.W.T. 

Rasulullah S.A.W pernah bersabda : ‘Sebesar-besar jihad ialah menyatakan kalimah yang benar di hadapan pemerintah yang zalim.” An-nasihah untuk para ‘alim ulama’ ialah kita mengingatkan mereka akan tanggungjawab yang terpundak di atas bahu mereka serta kita membenarkan apa yang mereka sampaikan daripada Rasulullah S.A.W selagimana mereka adalah ahli siqah (dipercayai). 

Kategori yang terakhir ialah an-nasihah untuk sesama muslim. Yang dikatakan an-nasihah ini ialah kita memberi tunjuk ajar dan didikan islam kepada mereka demi kepentingan dunia dan akhirat, demi melahirkan generasi-generasi yang akan meneruskan kesinambungan  perjuangan Rasulullah S.A.W. An-nasihah yang dilaksanakan itu tidakalah terhenti sekadar kata-kata sahaja, bahkan ia perlu dijangkaukan kepada amalan. 

Dengan itu an-nasihah akan berperanan sebagai penutup keaiban dan penyekat kecacatan, melahirkan kebaikan, menyeru kepada makruf dan mencegah kemungkaran. Memberi nasihat kepada sesiapa yang meminta untuk diberi nasihat adalah antara bentuk-bentuk an-nasihah yang paling besar. Rasulullah S.A.W bersabda : “Apabila seseorang daripada kamu meminta nasihat maka nasihatilah dia.”

 Secara kesimpulannya yang boleh kita perkatakan disini betapa peri pentingnya an-nasihah sesama umum muslimin ini kerana disana terdapat hak-hak seorang muslim keatas saudaranya yang lain.  Fudhail bin ‘I’yadh berkata : “Orang yang paling Berjaya disisi kami bukanlah mereka yang Berjaya melaksanakan banyak sembahyang dan puasa, tetapi yang paling berjaya di sisi kami diukur dengan jiwa yang pemurah, berlapang dada dan melaksanakan tanggungjawab an-nasihah terhadap ummah.” 

Selain itu juga, apa yang paling penting dalam perkara an-nasihah ini ialah teguran yang mana teguran secara rahsia adalah yang dituntut bagi menutup segala bentuk keaiban saudaranya, maka Allah S.W.T akan menutup keaibannya di akhirat kelak. Sebahagian ulama’ berkata “sesiapa yang menegur saudaranya dengan sesuatu perkara dan hanya diketahui olehnya dan saudaranya sahaja maka itu adalah nasihat. Sesiapa yang memperingatkan saudaranya di khalayak ramai, maka sesungguhnya dia telah menempelaknya.” Wallahua’lam.  


0 comments:

Sahabat