Saturday, September 15, 2012

M19 Dua Usul Disepakati

Posted by UPP DPMZ On 12:56 PM No comments


ZAGAZIG, 1 Sept 2012 - Selepas hampir setahun kepimpinan DPMZ sesi 2010/2011 di bawah yang diketuai Saudara Mohd Zainullah Bin Mohd Pauzi selaku Pengerusi DPMZ, Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) DPMZ kali ke-19 telah diadakan pada 1 September 2012 yang lalu dan telah menghangatkan Dewan Darul Wehdah. 

MAT 19 bermula dengan majlis perasmian yang telah dirasmikan oleh Saudara Mohd Faizzudin Bin Ghazali selaku Penasihat 1 DPMZ sesi 2011/2012.


Dalam ucapan beliau mengharapkan MAT pada kali ini menatijahkan hasil yang terbaik sebagai bekalan untuk sesi akan datang. Beliau turut menegaskan bahawa setiap muhasabah dan cadangan hanya akan berguna dengan tindakan susulan dan kombinasi daripada pimpinan dan seluruh ahli. Cukuplah umat yang hanya mencari kelemahan tetapi jadilah umat yang bekerja.

Gimik perasmian disempunakan oleh beliau diiringi Saudara Mohd Zainullah Bin Mohd Pauzi selaku Pengerusi DPMZ 2011/2012 bersama Saudara Mohamed Zulfiqar Bin Mohamed Akram selaku Pengarah MAT pada kali ini dengan menggerak model kereta api mini sebagai simbolik perjalanan survival DPMZ yang silih berganti dengan satu landasan yang berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah .

Sesi pagi bermula dengan pembentangan laporan gerak kerja setiap unit serta persoalan, muhasabah dan cadangan daripada seluruh ahli yang hadir. Pelbagai kritikan dan idea telah dilontarkan oleh ahli termasuk ahli yang baru kepada pimpinan bagi memperbaiki dan memperkemas lagi gerak kerja pada sesi akan datang.



Selepas berhenti rehat seketika, sidang mesyuarat sesi petang semakin hangat dengan pembentangan dan pembahasan usul bagi dilaksanakan oleh seluruh ahli DPMZ sesi hadapan. Justeru, 2 usul yang telah dipersetujui oleh seluruh sidang mesyuarat yang hadir ialah “Bersama membina komuniti harmoni dengan tindakan : Pemerkasaan hubungan seluruh mahasiswa/wi di bumi Zagazig dan Meningkatkan penghayatan amal Islami“ dan “Membina generasi pelapis melalui penekanan terhadap aspek thaqafah dan tarbiah”.

Diharapkan kedua-dua usul ini dapat dilaksanakan dengan baik pada sesi yang akan datang. Seluruh ahli telah memberikan respon yang baik kepada kedua-dua usul tersebut. Selesai usul ini dibincangkan, tiba MAT pada kali ini ke ucapan penangguhan dan pembubaran bagi pimpinan DPMZ Sesi 2011/2012 bagi menandakan berakhirnya kepimpinan bagi sesi tersebut.
       
Kemudian, majlis diambil alih oleh pihak SPR 2012 bagi agenda seterusnya, iaitu sesi penamaan calon-calon yang bakal memegang tampuk kepimpinan DPMZ bagi sesi 2012/2013 seterusnya mengadakan sesi taa’ruf bagi calon-calon tersebut. Di akhir sesi tersebut, Saudara Mohd Shobri Bin Mat Yaakub sebagai Pengerusi DPMZ yang baru sempat menyampaikan sedikit ucapan yang berkisar harapan kepada semua ahli agar dapat memberikan kerjasama dan kepercayaan yang sepenuhnya kepada pimpinan yang baru serta berharap agar Islam akan terus tertegak di bumi Zagazig  yang kita cintai ini.

Seterusnya majlis diteruskan dengan penyampaian anugerah dan sijil penghargaan kepada seluruh ahli yang telah berjasa dengan membantu melicinkan lagi perjalanan program DPMZ sepanjang sesi 2011/2012. Antara anugerah yang disampaikan ialah Ikon Muda, Ikon Kepimpinan, Anugerah Emas, Ikon Lagenda dan Anugerah Bait Mithali. 

Sekalung ucapan terima kasih diucapkan kepada seluruh ahli kerana telah menjayakan MAT kita pada sesi ini. Semoga pimpinan yang baru ini dapat meneruskan usaha untuk membawa dan menyebarkan wadah Islam di bumi Zagazig dengan penuh komited serta mendapat kerjasama dari semua ahli. 

0 comments:

Sahabat